LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
PERJALANAN pulang skuad PDRM FC dengan bas pasukan dari Iskandar Puteri, Johor sejurus selepas perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada Jumaat khabarnya riuh-rendah dengan senda-gurau pegawai dengan pemain-pemain.
Berbanding kebanyakan pasukan lain yang lazimnya memilih untuk bermalam, mereka hanya membuat persinggahan sebentar di sebuah restoran berdekatan seusai perlawanan untuk mengalas perut sebelum meneruskan perjalanan sejauh kira-kira 350 kilometer ke Kuala Lumpur.
Usik-mengusik dikatakan berkisar kepada suksesnya misi PDRM FC mengelakkan kekalahan besar dalam pertemuan pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu – gelanggang yang dianggap ‘kuburan’ buat mana-mana pasukan pelawat.
Tewas 0-3 kepada juara menanti, JDT dalam separuh pertama, The Cops berupaya mengikat tuan rumah untuk seri 0-0 dalam separuh kedua. Itulah yang menjadi modal keriuhan mereka.
Kekalahan secara keseluruhan dalam perlawanan itu – margin kedua terkecil selepas kekalahan 0-2 Terengganu FC dalam aksi Piala Sumbangsih di gelanggang sama, 24 Februari lalu – rata-rata dirasakan bukan satu kegagalan, apatah lagi ia bukanlah sesuatu yang mereka tidak jangka.
James Okwuosa (tengah) menghalang bola daripada ditanduk dua pemain JDT. — Facebook/PDRM FC
Turut tidak terlepas daripada bualan mereka ialah sikap pengadil, Jeevanathan M.Ponniamoorthy, yang terlebih bermurah hati dalam menghadiahkan dua sepakan penalti kepada tuan rumah tapi tidak pula demikian dalam melayangkan kad buat pemain mereka.
Sudah tentu insiden terjahan Bergson Da Silva ke paha pertahanan sasa The Cops, James Okwuosa, yang tidak disusuli sebarang kad, menimbulkan kesangsian mereka. Mungkin, pada mereka, Jeevanathan lebih tertarik untuk melihat pembakaran suar di tempat duduk penonton ketika insiden itu.
Juga gurauan kononnya Bergson “kecut” untuk berdepan lagi dengan Okwuosa dalam baki babak kedua itu yang menyaksikan JDT kebuntuan jaringan, mencetuskan hilai-ketawa di dalam bas berkenaan.
Menang dalam kekalahan, harus itulah yang rata-rata dirasakan oleh pemain-pemain skuad Sang Saka Biru itu, yang akan bersemuka lagi dengan skuad Harimau Selatan dalam aksi Liga Super pula di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Selangor Rabu ini.
Sesungguhnya, banyak yang dibualkan Azmi Muslim dan rakan sepasukan, yang menyimpulkan suasana hingar-bingar di dalam terowong pemain menuju ke bilik persalinan selepas perlawanan, menceritakan ketidakpuasan hati pasukan tuan rumah dengan kemenangan kecil mereka.
Julat kemenangan itu kemudian dipintas Selangor FC yang gah meleburkan rekod tanpa kalah Sri Pahang FC dengan keputusan 4-0 di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.
Ketua jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz, bagaimanapun, memilih untuk kekal pragmatik sambil mempertahankan pasukannya tidak berada sama level dengan JDT, yang dalam bahasa media sosial hari ini digolongkan sebagai pasukan “kayangan”.
“Kalah dengan tiga gol adalah satu keputusan yang sangat positif bagi kami,” katanya kepada Laptop Cabuk.
Bergson (kiri) diasak pemain import PDRM FC. — Facebook/PDRM FC
Bermula dengan formasi 5-4-1, dengan menampilkan Bruno Suzuki selaku penyerang tunggal, dia mengakui memang menjangkakan tugas teramat sukar buat mereka berdepan dengan sebuah pasukan lengkap serba-serbi yang sudah menyumbat 36 gol.
“Perancangan kami adalah untuk menyerap tekanan dengan bermain secara kompak ketika bertahan. Ia menuntut kami untuk bermain dengan penuh berdisiplin bagi menutup ruang.
“Tapi gol-gol awal lawan (Bergson, minit ke-4, penalti minit ke-14) mengucar-kacirkan pertahanan kami hingga moral pemain-pemain runtuh. Rancangan kami untuk mengelakkan bolos dalam 15 minit pertama tidak mampu dipertahankan,” katanya.
Kegugupan pemain – sebilangan besar mereka baru beraksi kali pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Johor – turut diakuinya merumitkan lagi tugas mereka yang disokong oleh statistik hanya 28 peratus penguasaan bola di samping cuma satu percubaan tepat daripada tandukan Okwuosa yang dapat ditangkis penjaga gol,
Farizal Marlias.
“Apa pun, ia adalah satu proses pembelajaran yang baik buat pasukan ini yang perjalanannya masih jauh,” tambah jurulatih itu yang meraih sedikit sagu hati apabila dimaklumkan ‘pundit’ siaran langsung perlawanan malam itu (Jumaat) – Nizaruddin Yusof, Nor Shahrul Idlan Talaha dan Razman Roslan -- meramalkan kekalahan 6-0 dan 7-0 di pihak pasukannya.
Dijadualkan berdepan lawan yang sama di halaman sendiri dengan berjarak lima hari, Azzmi mengakui ia tidak memberikan mereka apa-apa kelebihan, sebaliknya gusar dengan dua kemungkinan di depan mata.
Di sebalik sedikit lega kerana Okwuosa disahkan cergas untuk turun beraksi sekali lagi, The Cops, bagaimanapun, akan dinafikan khidmat pemain tengah, Fadi Awad, gara-gara penggantungan kad merah ketika berdepan Penang FC, 9 April lalu, di samping peluang pemain pertahanan, Aliff Najmi Shaaini, masih meragukan kerana cedera.
“Saya jangka JDT akan menggunakan perlawanan berikut ini untuk memburu kemenangan lebih besar selepas pertemuan pusingan 16 Piala FA itu.
“Seperkara lagi yang saya gusar ialah kami sudah kalah tiga kali berturut-turut (Sri Pahang 1-2 dan Penang FC 2-4). Satu lagi akan menyulitkan usaha kami untuk menaikkan semula semangat pemain- pemain (untuk menghadapi KL City FC, 27 April),” katanya.
Arif Aiman dihalang dua pemain PDRM FC. — Facebook/PDRM FC
Dalam pada itu, ketua jurulatih itu mempunyai perkiraan cukup mudah daripada terlalu membimbangkan kekalahan kepada JDT.
Baginya, pertemuan dengan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu hanya membabitkan dua perlawanan liga semusim. Andai kalah kedua-duanya pun, masih ada 24 perlawanan lain untuk memperhitungkan peluang mengutip mata.
Sambil membayangkan langkah penambahbaikan pasukan akan dilakukan ketika jendela perpindahan kedua Julai nanti, ia mungkin menjanjikan peningkatan buat The Cops dalam pusingan kedua liga kelak.
“Cuma, apa yang boleh saya katakan ialah pemain-pemain saya dah mula yakin dengan kemampuan sendiri seperti aksi separuh masa kedua menentang JDT.
“Suasana dalam pasukan dan kesungguhan dalam latihan juga bertambah baik akhir-akhir ini,” tambahnya, dengan membiarkan peminat membuat ramalan atau kesimpulan sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram