Tak cukup hanya jadi juara Liga Super, fans JDT tetapkan satu lagi sasaran baharu


  • Podium
  • Isnin, 10 Apr 2023

JDT terus menjadi pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Super pada musim ini. — Facebook/Johor Southern Tiger

BARU memasuki lapan perlawanan pertama Liga Super musim ini, Johor Darul Takzim (JDT) membuktikan bahawa ia merupakan pasukan yang berada di kelas tersendiri.

Selain memungut mata penuh, skuad Harimau Selatan juga berjaya merekodkan kemenangan besar bagi setiap aksi diharungi.

Dalam enam perlawanan terakhir liga, pasukan yang berpangkalan di selatan tanah air itu berjaya menewaskan lawan dengan defisit sekurang-kurangnya empat gol.

Keputusan dicatatkan itu termasuk ketika menentang pasukan dikatakan sebagai pencabar terdekatnya yang mengisi kelompok teratas liga seperti Selangor FC dan Sabah FC yang masing-masing tewas dengan jaringan 4-0 serta yang terbaharu Kedah Darul Aman (KDA) FC (6-0).

Prestasi memberangsangkan anak buah Esteban Solari itu juga menyaksikan Harimau Selatan terus berada di takhta liga dengan merekodkan jumlah jaringan jauh meninggalkan pasukan lain iaitu sebanyak 36 gol dan hanya mencatatkan satu bolos.

jdt

JDT berjaya merekodkan 36 jaringan hanya dalam lapan perlawanan pertama Liga Super 2023. — Facebook/JohorSoutherTigers

Pasukan kedua yang mencatatkan jumlah jaringan tertinggi ialah Selangor FC yang juga berada di kedudukan kedua carta liga dengan hanya 17 jaringan.

Aksi menyakinkan dipamer JDT itu seakan-akan hanya mengesahkan jangkaan pemerhati bola sepak negara yang sudah pun meletakkan JDT sebagai satu-satunya calon juara Liga Super 2023 sebelum musim baharu bermula.

Namun begitu, melihat kepada prestasi semasa ditunjukkan pasukan, peminat Harimau Selatan dilihat mempunyai sasaran baharu buat pasukan liga bagi saingan di peringkat domestik.

forestieri

Setakat lapan perlawan awal, penyerang import JDT, Fernando Forestieri menjadi penjaring terbanyak pasukan dengan tujuh gol. — Facebook/JohorSoutherTigers

Malah selepas kemenangan besar menewaskan KDA FC pada Ahad, terdapat antara mereka yang menimbulkan mengenai kemungkinan pasukan tersebut untuk sekali lagi mencipta rekod baharu iaitu dengan mencatatkan 100 jaringan dalam kejohanan liga musim ini.

"36 jaringan gol dalam lapan perlawanan. Mampukah JDT cipta sejarah capai 100 gol dalam satu musim Liga Super 2023 ini? Insya-ALLAH!" tulis Uda Salleh.

"Menang Liga Super satu dekad. 100 gol untuk satu musim, mantap," ujar Anuar Sarmin.

"Tak mustahil kalau keep fit, berdisiplin dan sentiasa bersikap rendah diri, kita boleh teruskan 2-0,3-0,4-0,5-0 sampai last game," kata Eric Lee.

Rekod jaringan tertinggi yang pernah dicatatkan JDT dalam Liga Super ialah pada musim lalu iaitu sebanyak 61 jaringan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram