JDT terlalu hebat buat Kedah, 'defending error' buat Harimau Selatan terus berpesta gol


  • Podium
  • Ahad, 09 Apr 2023

Sebahagian aksi JDT ketika menentang KDA FC di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad. — Facebook / JDT

JOHOR Darul Takzim (JDT) menepati ramalan apabila mengecewakan Kedah Darul Aman (KDA FC) dengan keputusan 6-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Ahad.

Skuad Harimau Selatan menghadirkan beberapa ancaman berbahaya seawal 20 minit pertama menerusi hantaran-hantaran tepat ke arah pintu gawang.

Keghairahan JDT mencari gol pembukaan berhasil apabila peledak berbisa, Fernando Forestieri menghadirkan jaringan pertama pada minit ke-23 dan keputusan itu kekal hingga wisel penamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, JDT tidak perlu menunggu waktu yang lama untuk merobek gawang Sang Kenari selepas pertahanan muda Harimau Selatan, Feroz Baharuddin mencetak gol kedua pada minit ke-48.

Kurang dua minit, Oscar Arribas pula merembat gol ketiga JDT bagi memastikan dominasi Harimau Selatan di pentas Liga Super.

Permainan semakin panas selepas JDT diberikan sepakan penalti pada minit ke-53 yang menyaksikan Bergson menyempurnakannya untuk jaringan keempat JDT.

340342373_908657540349986_4358638131806201210_n

Feroz mencetak gol sulung peribadinya ketika aksi menentang KDA FC. — Facebook

Pada minit ke-68, JDT memperoleh penalti kedua selepas Arif Aiman dikasari oleh Azrin Afiq, namun gol yang disempurnakan pemain sayap Harimau Selatan itu tidak dikira.

Sebelum itu, Forestieri dan Arif Aiman membuat gerakan mengelirukan yang mana Forestieri mengambil penalti tersebut namun digelecek dengan pantas dari tepi oleh Arif Aiman terus ke pintu gawang untuk menewaskan Kalamullah Al-Hafiz.

Berikutan acahan duo JDT itu, pengadil meminta pasukan tuan rumah mengambil semula sepakan penalti tersebut namun kemudian permainan diteruskan seperti biasa.

Arif Aiman akhirnya melunaskan kekecewaannya untuk mendapatkan gol selepas dengan mudah menyempurnakan hantaran Syahmi Safari pada minit ke-76.

340425514_778123100542923_2443760089914877796_n

Sebahagian aksi JDT ketika menentang KDA FC di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad. — Facebook / JDT

Leandro Velazquez mencetak nama sebagai penjaring selepas gol keenam buat JDT untuk meletakkan gergasi Liga Super itu selesa di hadapan dengan jumlah jaringan 6-0 hingga wisel penamat masa penuh dibunyikan.

Bekas jurulatih, Datuk Zainal Abidin Hassan sendiri mengakui, pertahanan KDA FC terutamanya Amirbek Juraboev ada kalanya kurang berdisiplin ketika dalam mod bertahan.

"Kalau tengok Amirbek, dia sepatutnya kawal Forestieri tapi dia tidak mempamerkan disiplin yang baik sekali gus memberi peluang pemain itu meledak gol ketika sepakan penjuru diberikan.

"Kedah banyak buat defending error kerana membuka peluang kepada JDT untuk buat gol," katanya ketika mengulas perlawanan tersebut.

Kedah menduduki tangga ketiga dengan 16 mata selepas mengharungi lapan perlawanan setakat ini manakala Selangor FC naik ke tangga kedua dengan 19 mata apabila membenamkan Kelantan FC dengan skor 3-0.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram