KELAB Johor Darul Takzim (JDT) menerima kunjungan Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor, pada Ahad.
Menjelang pertemuan itu, pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar mahu skuad Sang Kenari menggunakan kelebihan yang ada untuk mengatasi lawannya.
Daud berkata, sebagai sebuah pasukan underdog, KDA FC ada kelebihan dan juga kekurangan namun Sang Kenari kena bijak sepanjang masa membina kekuatan dalam kekurangan.
"Permainan bola sepak ialah sebuah sains dan skil (art). Sukatan yang mencukupi antara kedua-dua elemen ini - yang sesuai dengan keadaan semasa - adalah resipi kejayaan.
"Tidak ada seseorang pun yang semuanya sempurna. Tiada seorang pun yang semuanya lemah dan rendah.
"Sang Kenari mesti bijak, bijak minda dan emosi untuk mengelak daripada melakukan kesilapan dan bijak mengambil kesempatan atas kelemahan JDT.
"Sejujurnya, semua orang akan melakukan yang sama untuk menang. The best yang akan menang," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Daud berkata, dari segi statistik, tidak dinafikan, semua memberi kelebihan kepada pasukan JDT yang kekuatan semakin terserlah tahun demi tahun.
Namun beliau memberitahu, satu pelan taktikal yang paling berkesan sudah tentu diharapkan daripada Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain bagi berdepan segala statistik yang ada.
Daud (kiri) bercakap sesuatu dengan tonggak naturalisasi KDA FC, Lee Tuck. — Facebook/ KDA FC
Pada masa sama, beliau turut mengharapkan agar peminat Kedah FC menjadi penyokong yang setia.
"Menjadi peminat tak cukup. Menjadi penyokong adalah bersama pasukan kita sepanjang masa di lurah berselut atau di denai nyaman.
"Pemain kena tingkatkan keyakinan dan kemahiran mereka. Peminat pun kena meningkatkan kualiti komitmen mereka menjadi penyokong setia.
"Kalah atau menang adat perlawanan. Bermainlah sebaik mungkin dengan segala hati dan jiwa wahai Sang Kenari. Berjuanglah sejiwa murni. Berdoalah seikhlas hati," tulisnya.
KDA FC kini menduduki tangga kedua carta liga di belakang JDT dengan 16 mata selepas mengharungi tujuh perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram