'Tamak sangat', fans minta Fayadh Zulkifli direhatkan, mahu bintang muda Sang Kenari beraksi


  • Podium
  • Rabu, 05 Apr 2023

Aiman ketika berlatih bersama pasukan pada Isnin. — Facebook/KDA FC

BERADA di tempat ketiga carta liga selepas enam perlawanan pertama Liga Super 2023 bukanlah keputusan yang negatif untuk pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Ini kerana dalam saingan musim lepas, Sang Kenari gagal untuk meletakkan diri di kelompok teratas liga apabila hanya sekadar menduduki tangga ke-8.

Untuk ketika ini, KDA FC berjaya memungut 13 mata, hanya dibezakan dengan perbezaan jaringan bersama pasukan di tangga keempat iaitu Sabah FC dan satu mata di belakang Selangor FC yang mengisi tempat kedua di carta liga.

Berdasarkan kepada perkembangan tersebut, Sang Kenari dilihat masih berada di landasan yang tepat, apatah lagi dengan mengambil kira situasi pemain yang masih membiasakan diri dengan ketua jurulatih baharu, Nafuzi Zain.

Namun begitu, di sebalik keputusan positif dicapai itu, penyokong Hijau Kuning dilihat masih tidak sepenuhnya mudah berpuas hati aksi ditonjolkan pasukan.

Antara bahagian yang mendapat kritikan adalah aksi ditonjolkan beberapa pemain di barisan serangan KDA FC.

Rungutan itu kedengaran lebih kuat apabila Sang Kenari hanya berjaya mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika menentang Sri Pahang FC, Sabtu lalu.

aiman 1

Fayadh ketika beraksi menentang Sri Pahang FC pada Sabtu lalu. — Facebook/KDA FC

Menurut penyokong, pasukan kesayangan mereka seharusnya boleh menang dengan mudah dalam aksi tersebut sekiranya pemain di barisan hadapan mereka lebih tajam dan klinikal dalam menghasilkan jaringan daripada peluang tercipta.

Dalam perlawanan yang dikuasai KDA FC itu, Sang Kenari berjaya merekodkan sebanyak 18 cubaan gol, sekali ganda lebih tinggi berbanding pasukan lawan dengan sembilan percubaan.

Disebabkan itu, selain penyerang import baharunnya, Willian Lira yang aksinya sememangnya tidak begitu digemari penyokong Hijau Kuning, seorang lagi pemain kesebelasan utama yang mendapat kritikan ialah pemain sayap kiri pasukan, Fayadh Zulkifli.

Menurut mereka, meskipun Fayadh dilihat memiliki kemahiran menggelecek yang tinggi, skil ditunjukkan pemain lincah berusia 24 tahun itu tidak mampu membantu dalam memberikan hasil akhir kepada pasukan untuk mendapatkan gol.

"Fayadh tamak sangat, 'gentel' lama sangat," kata Muhammad Nazir.

"Fayadh elok jadi supersub sudah la. Nak bawa bola pi sampai mana langsung, terikut rentak Faisal Halim ke apa?" soal Muhammad Syafiq.

"Ubah-ubah la cara permainan banyak 'gentel' depan pintu gol. Kawal permainan 100 peratus sekalipun sampai tidak ada langsung cubaan berbahaya ke gawang gol lawan. Karut jadinya," ujar Mohd Zaidi.

Aiman Afif (in the Malaysian jersey) in action for the Malaysian Under-23 team in their friendly against Kuala Lumpur. - Photo by FAM

Aiman ketika beraksi bersama skuad Harimau Muda. — FAM

Untuk rekod, Fayadh menjadi pilihan untuk membarisi kesebelasan utama KDA FC dalam empat daripada enam perlawanan pertama diharungi musim ini.

Namun begitu, dia ketika ini masih gagal untuk mencatatkan sebarang jaringan mahupun bantuan gol untuk pasukan.

Disebabkan itu terdapat penyokong mencadangkan Fayadh direhatkan dalam perlawanan seterusnya dan menggantikannya dengan seorang pemain muda pasukan yang sedang meningkat naik iaitu Aiman Afif.

"Harap esok dia ganti Fayadh, Fayadh jadi simpanan," ujar Aliza Ahmad Liza Aliza.

Untuk rekod, penyerang berusia 22 tahun itu adalah sebahagian daripada pemain skuad Harimau Muda yang beraksi dalam saingan Piala Asia Bawah 23 tahun (B23).

Pada masa sama, pemain dengan ketinggian 1.78 meter (m) itu sudah dipanggil untuk bersama skuad utama sejak berusia 19 tahun namun masih gagal untuk menembusi kesebelasan utama pasukan.

Namun begitu, aksi pertamanya pada musim ini sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang Sri Pahang FC Sabtu lalu menyaksikan dia dapat membuat satu bantuan gol bagi membolehkan KDA FC mendapat jaringan penyamaan pada minit akhir perlawanan.

Pada musim lepas, anak kelahiran Jitra, Kedah itu berjaya merekodkan satu jaringan dan satu bantuan gol daripada 7 penampilannya bersama skuad utama.

KDA FC akan menerima kunjungan Penang FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah dalam aksi Liga Super pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram