'Pemain pasti nak tunjuk siapa jaguh', ex-Kedah kongsi pengalaman harungi Derbi Utara


  • Podium
  • Selasa, 04 Apr 2023

Pertembungan kedua-dua pasukan awal musim lalu menyaksikan KDA FC tersingkir daripada saingan Piala FA. — Facebook/KDA FC

AKSI minggu ketujuh Liga Super 2023 bakal menyediakan penyokong bola sepak tanah air dengan pertembungan-pertembungan yang semestinya menarik perhatian ramai.

Salah satu perlawanan yang pastinya ditunggu-tunggu adalah pertemuan antara dua pasukan Utara tanah air, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Penang FC.

Pertembungan yang bakal berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada Rabu itu pasti menjadi medan buat pemain kedua-dua pasukan untuk membuktikan kelab diwakili adalah yang terbaik di rantau terbabit.

Namun, aksi kali ini pastinya lebih mengujakan apabila mereka sudah menunjukkan taring masing-masing ketika peringkat awal Piala FA 2023.

Bagi pemain KDA FC, mereka semestinya bersemangat untuk menebus maruah apabila disingkirkan skuad Harimau Kumbang menerusi penentuan sepakan penalti.

Rata-rata pemain Penang FC juga pastinya tidak mahu terlepas untuk menampilkan persembahan terbaik, lebih-lebih lagi selepas mencatatkan kemenangan penting dalam liga baru-baru ini.

Jadi, tidak timbul sebarang kemusykilan apabila perlawanan yang juga dikenali dengan jolokan 'Derbi Utara' itu hangat diperkatakan di media sosial.

Kehangatan itu juga dirasai bekas pemain Kedah FA, Azmeer Yusof yang tidak menafikan bahawa semangat berbeza bakal dipamerkan pemain kedua-dua pasukan.

az5_1604554325

Azmeer merupakan antara tonggak utama Kedah FA selama dua musimnya di Utara tanah air. Agensi

"Sudah tentulah, kita sebagai pemain, kita akan tahu kepentingan untuk setiap perlawanan. Tetapi, apabila ada perkataan derbi, kita akan rasa lebih teruja untuk bermain.

"Ia disebabkan kita mewakili dan berada di Zon Utara, jadi masing-masing nak tunjukkan kehebatan dan sebagai pemain, sudah tentu kita nak bagi yang terbaik dan tunjukkan di zon itu, siapa yang jaguh," katanya kepada Majoriti.

Azmeer pastinya cukup sinonim beraksi dengan skuad Sang Kenari apabila dia pernah mewakili pasukan berkenaan sebanyak dua kali, iaitu pada 2016 dan 2019.

Kehadirannya itu dilihat sebagai 'tuah' berbeza buat Kedah FA apabila berjaya merangkul Piala FA dan Piala Malaysia ketika keberadaannya bersama pasukan negeri Jelapang Padi itu.

335367999_739170214249402_7457826402924817233_n

Azmeer juga memuji kehadiran Nafuzi sebagai pengendali skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Mengulas lanjut, Azmeer yang ketika ini bersama kelab Liga M3, Harini FT turut teruja dengan prestasi skuad Sang Kenari ketika ini.

"Pada saya, Kedah ada penambahbaikan dengan apa yang kita sedia maklum, cara ketua jurulatih, Nafuzi Zain berjaya bawa Terengganu sebelum ini dan Kedah pula musim ini.

"Kalau kita tengok gaya permainan pun ada perubahan dan meningkat selain pemain juga semakin bagus. Dalam carta liga pun, mereka berada di tangga kedua," katanya.

Selepas mengumpul 13 mata, KDA FC berada hanya di belakang pendahulu liga, Johor Darul Takzim, namun masih terikat dengan dua pasukan lain, iaitu Sabah FC dan Selangor FC.

Bagi Penang FC, kemenangan sulung yang dicatatkan ketika berdepan Perak FC, Jumaat lalu meletakkan mereka di tangga kesembilan Liga Super dengan lima mata berjaya dikumpul selepas enam perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram