Bekas bintang akui rindu sokmo, tak sabar-sabar kembali perkuat TRW


  • Podium
  • Isnin, 03 Apr 2023

Siringoringo (tengah) sudah dipinjamkan ke Dewa United dari skuad TRW selama dua musim. — Facebook/TRW Kelantan FC

KEDUDUKAN di tangga ke-11 Liga Super pastinya cukup mengecewakan buat penyokong Kelantan FC yang terpaksa akur dengan kelemahan pasukan itu.

Setakat enam perlawanan, skuad The Red Warriors (TRW) hanya menikmati satu kemenangan iaitu ketika aksi menentang Penang FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan pada 5 Mac lalu.

Selain daripada itu, pasukan Pantai Timur itu hanya mencatatkan satu keputusan seri dan empat kekalahan yang mana cukup merisaukan pengikut setia mereka.

Namun, bagi mereka, kekalahan 2-4 di tangan Negeri Sembilan FC pada Sabtu membuktikan bahawa masih terdapat pelbagai isu yang perlu diperbaiki.

Salah satu daripadanya adalah kesukaran ketua jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik yang dilihat masih bergelut untuk mencari kesebelasan utama terbaik Kelantan FC.

Lebih merisaukan lagi, pemain import yang dibawa masuk ketika jendela perpindahan lalu terus dipertikaikan dengan persembahan masing-masing masih mengecewakan.

Jadi, dalam menyelesaikan isu tersebut, segelintir penyokong skuad TRW mendesak agar pemilik pasukan, Norizam Tukiman mengambil keputusan membawa masuk beberapa tonggak import musim lepas.

Pemain sayap kelahiran Indonesia, Nataneal Siringoringo merupakan antara nama yang terus disebut-sebut untuk membantu jentera serangan pasukan.

072928400_1615799404-158891613_5184062828330849_5443048973652529864_o

Kelincahan Siringoringo membantu skuad TRW dengan gol-gol yang dihasilakn. Facebook/TRW Kelantan FC

Dia yang ketika ini dipinjamkan ke kelab Liga 1 Indonesia, Dewa United FC menjadi antara watak penting ketika membantu Kelantan FC cuba bangkit dengan menamatkan saingan Liga Perdana 2021 di tangga keenam.

Namun, baru-baru ini, terdapat beberapa khabar angin yang mengatakan pemain berusia 23 tahun itu tidak akan pulang ke pangkuan pasukan Pantai Timur itu sejurus tempoh pinjamannya tamat.

Menjawab perkara itu, Norizam tampil memberi berita gembira dengan mengatakan bahawa Siringoringo sudah tidak sabar untuk kembali berjasa dengan skuad TRW.

Perkara itu dikongsikan pemilik kelab menerusi satu tangkap layar perbualannya bersama pemain bertubuh kecil itu yang bertarikh 10 Mac 2023.

"Saya rindu bos juga, saya akan pulang ke Kelantan selepas habis bersama Dewa United," tulis pemain itu, ringkas.

338908319_709864127489157_7536338751098890025_n

Tangkap layar perbualan antara Siringoringo dan Norizam Tukiman. Facebook/ZAMSAHAM

Hantaran yang dibuat Norizam itu sedikit sebanyak memberikan kelegaan buat penyokong Kelantan FC sehingga ada daripada mereka mengharapkan kepulangannya disegerakan.

"Alhamdulillah, terbaik Boszam (Norizam) kerana dia pun nampaknya cukup merindui Kelantan tu," kata Erry Nazrin.

"Insya-ALLAH, dia bakal mengubah skuad TRW dan boleh mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan seperti dilakukan Cristiano Ronaldo di Manchester United sebelum ini," kata Lan.

"Semoga dipermudahkan dan cepat kembali bersama Kelantan FC," ujar Zafri Said.

Ketika bersama Kelantan FC pada 2021, Siringoringo muncul sebagai salah seorang prospek terhangat pasukan dengan namanya juga disebut-sebut media Indonesia.

Ia berpunca daripada beberapa jaringan penting yang disumbangkan penyerang sayap berkenaan, termasuk ketika skuad TRW menumpaskan seteru setempat, Kelantan United FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram