PEMAIN kebangsaan, Kogileswaran Raj akhirnya berjaya membuat penampilan sulung bersama kelab baharunya, Chungbuk Cheongju FC dalam aksi Korean FA Cup pada Khamis.
Diturunkan dalam kesebelasan utama, pemain berusia 24 tahun dan lebih dikenali dengan panggilan Kogi membantu pasukannya yang beraksi di divisyen dua Liga Korea bagi merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Seoul Jungnang FC.
Keputusan tersebut pastinya memberikan semangat baharu kepada bekas pemain Sri Pahang FC itu yang masih mencari-cari prestasi terbaiknya selepas membuat keputusan mengembangkan bakatnya ke luar negara pada musim ini.
Dalam pada itu, aksi ditunjukkan Kogi itu turut mendapat respons positif daripada penyokong Chungbuk Cheongju selepas tamat perlawanan.
Dalam satu video dimuat naik di laman Instagram, harimaumalaya, pemain sayap kanan itu dilihat juga menjadi perhatian penyokong yang menunggu di pekarangan luar stadium.
Kogi ketika aksi sulungnya bersama Chungbuk Cheongju FC pada Khamis. — Agensi
Terharu dengan sambutan ditunjukkan itu, Kogi tidak melepaskan peluang untuk mendekati mereka yang hadir.
Selain menandatangani jersi, poster dan mafela, dia juga tidak menolak permintaan penyokong untuk berswafoto bersama-sama.
Pada masa sama, Kogi yang pernah membuat lapan penampilan bersama skuad kebangsaan juga terbukti semakin dikenali di kelab itu apabila terdapat antara kumpulan penyokong membuat sorakan dengan melaungkan namanya.
Melihat kepada sambutan dalam video tersebut, harimaumalaya menulis, " Kogi ibarat artis ‘Kpop’ di Korea! World class dari Kogi!."
"Sebenarnya mungkin attitude di dalam dan luar padang dia bagus. Peminat boleh nilai," ujar jeles_ke_tu.
"Jangan ingat pemain ASEAN tak laku," kata luqmanhkm.co.
Perkembangan prestasi ditunjukkan Kogi ketika bersama Chungbuk Cheongju FC turut mendapat pujian ketua jurulatih pasukan. — Agensi
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Chungbuk Cheongju FC, Choi Yun-kyum dilaporkan turut memuji perkembangan prestasi ditunjukkan Kogi yang juga pernah menyarung jersi Petaling Jaya (PJ) City FC susulan aksi pertama pemain tersebut.
"Kogi berjaya menurunkan berat badannya sendiri untuk menjadi kompetitif, dan usahanya menyesuaikan diri dengan bola sepak Korea sangat mengagumkan. Saya memberinya peluang untuk bermain.
"Jika dia mempunyai lebih stamina dan mahir dalam menguruskan permainan, saya jangka dia mampu pamerkan prestasi baik pada masa hadapan," ujar Yun-kyum seperti dilaporkan media sukan Korea, Best Eleven. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram