PEMAIN bola sepak Malaysia pertama yang beraksi dalam Liga Korea, R. Kogileswaran berterima kasih kepada pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon atas tunjuk ajar yang diberikan.
Pemain berusia 24 tahun itu telah menandatangani perjanjian setahun dengan pasukan liga divisyen dua (K2), Chungbuk Cheongju, berkata, dia telah berbual panjang dengan jurulatih berkenaan sebelum sebelum berangkat ke Korea Selatan.
Berkat bantuan dari Pan-gon, arkitek tengah itu berkata, dia kini bersedia untuk mencipta nama di negara yang terkenal dengan pemain seperti Son Heung-min, Kim Min-jae dan Choi Sung-gug.
"Beliau bersikap mesra dan memberi saya banyak nasihat tentang apa yang perlu saya lakukan di sana dan bagaimana untuk menyesuaikan diri di negara Asia Timur itu.
"Dia (Pan-gon) gembira melihat saya berpindah ke sana. Pada hari saya menaiki penerbangan ke Korea Selatan, dia juga menghubungi saya untuk memastikan saya mempunyai semua yang saya perlukan.
“Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan penolong pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Kamarul Ariffin turut mengucapkan selamat maju jaya kepada saya dan menyatakan bahawa mereka akan mengikuti perkembangan saya.
“Kata-kata mereka membuatkan saya berasa lebih baik. Saya bersyukur untuk itu," katanya.
Kogi menabur bakti bersama skuad PJ City pada musim 2020.
Berkongsi mengenai bagaimana perpindahannya itu, pemain yang mesra disapa Kogi itu berkata, seorang ejen Korea Selatan telah memantaunya dan berkongsi videonya dengan beberapa kelab di negara itu.
Selepas itu, beberapa kelab mulai menunjukkan minat terutamanya Cheongbuk Cheongju dan Chungnam Asan.
Daripada dua kelab yang menawarkan kontrak itu, bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City FC memutuskan untuk beraksi bersama Cheongbuk.
“Saya memilih mereka kerana saya suka cara mereka mendekati saya. Mereka sangat profesional, dan saya rasa saya boleh memajukan kerjaya saya di sana," jelasnya.
Kogileswaran mendedahkan bahawa dia mahu mengikut jejak langkah sepupunya, Titus James yang pergi ke Perancis dan bermain untuk beberapa kelab.
“Sepanjang karier saya, saya sangat mahu bermain di luar negara seperti sepupu saya.
“Saya tahu ia akan menjadi sukar untuk saya dalam persekitaran baharu tetapi saya akan membiasakannya secepat mungkin.
“Sasaran saya hanyalah untuk menjadi pemain yang lebih baik, bekerja keras dan melakukan yang terbaik untuk kelab ini.
“Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk bermain di Korea, terutamanya dalam perlawanan intensiti tinggi di sana," ujar pemain kelahiran Kuala Lumpur itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram