POPULARITI pemain bola sepak boleh dikatakan tidak ubah seperti selebriti apabila setiap pengikut mereka pasti ingin mengetahui segala tindak-tanduk bintang kegemaran masing-masing.
Seperti mana bintang bola sepak Eropah, pemain tanah air juga semakin hari semakin dikenali, malah ada di antaranya juga popular di luar negara.
Mungkin ia kedengaran mustahil untuk seorang pemain bola sepak Malaysia terkenal di negara lain namun hakikatnya, empat bintang skuad kebangsaan menjadi modal berborak warganet di Korea Selatan.
Dalam satu laporan oleh Namuwiki iaitu sebuah wiki yang terkenal di Korea Selatan telah menyatakan bahawa terdapat empat pemain bola sepak tanah air mendapat perhatian warganet di negara itu.
Berikut Majoriti menyenaraikan empat pemain yang menjadi buah mulut warganet di Korea Selatan dan boleh dikatakan populariti mereka 'sama-sama naik' seperti selebriti negara republik itu:
1) Luqman Hakim Shamsudin
Luqman Hakim ketika beraksi bersama KV Kortrijk. — Instagram/Luqman
Salah seorang pemain Malaysia yang berkelana di Eropah, Luqman Hakim diam-diam menambat hati warganet di Korea Selatan dengan rupa parasnya yang menawan.
"Apabila saya memperkenalkannya kepada warganet di Korea Selatan, mereka berkata 'dia seorang yang handsome'," memetik laporan dari Namuwiki.
Luqman Hakim dilabel sebagai wonderkid Malaysia apabila dia mendapat tawaran untuk menyarung jersi kelab berpangkalan di Belgium, KV Kortrijk pada 2020.
Pemain berusia 20 tahun itu pernah dikritik hebat oleh penyokong tanah air kerana dilihat gagal mendapatkan minit permainan sehingga ramai menggesa Luqman Hakim untuk kembali ke Malaysia bagi menghidupkan semula kariernya.
Mana tidaknya, sepanjang hampir tiga musim di Belgium, Luqman Hakim hanya tampil dalam tiga perlawanan dan mengumpul 19 minit permainan.
Terbaharu, memetik laporan media tempatan, Pengarah Bukan Eksekutif KV Kortrijk (KVK), Amin Fuad berkata, Luqman Hakim bakal dipinjamkan ke salah satu kelab di Liga Eropah pada jendela perpindahan kedua Januari ini.
2) Mohd Faiz Subri
Faiz Subri sewaktu menerima Anugerah Puskas FIFA pada 2016. — Agensi
Menjadi pemain Asia pertama yang merangkul Anugerah Puskas FIFA pada 2016 menjadikan Faiz Subri sebagai pemain kedua Malaysia popular di Korea Selatan.
Sepakan percumanya pada 16 Februari 2016 di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang menjadi tular di media sosial, lantas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak teragak-agak untuk mencalonkannya kepada FIFA bagi Anugerah Puskas.
Ketika itu, pemain berusia 35 tahun itu menerima undian keseluruhan sebanyak 59.46 peratus dan menewaskan pesaingnya, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil (22.86 peratus), wakil tunggal pemain bola sepak wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela (10.01) peratus dan lain-lain (7.68 peratus).
Perkembangan terbaharu mengenai pemain kelahiran Kedah itu ialah dia dikhabarkan masih menyarung jersi Pulau Pinang selepas kembali ke pangkuan Harimau Kumbang pada musim 2021.
3) Muhammad Safawi Rasid
Aksi Safawi Rasid meledak gol ketika menentang Korea Selatan pada sukan Asia Jakarta-Palembang 2018. — Bernama
Nama Safawi Rasid menjadi tumpuan warganet di Korea Selatan apabila dia menjaringkan dua gol sewaktu menentang negara itu dalam kejohanan sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.
Hasil jaringan dari penyerang Johor Darul Takzim (JDT) itu membuatkan skuad Taeguk Warriors terpaksa beraksi dengan pasukan lawan yang lebih kuat seperti Iran dan Uzbekistan.
Ketika itu, Safawi membantu Malaysia menamatkan kemarau kemenangan selama 44 tahun di tangan Korea Selatan dalam kejohanan terbesar Asia itu.
Kini, ketua pasukan Harimau Malaya itu dipinjamkan ke Ratchaburi Mitr Phol bagi mengumpul minit permainan dan kehadirannya dalam pasukan itu disambut baik penyokong Liga Divisyen Satu Thailand.
4) R Kogileswaran
Kogi menandatangani perjanjian setahun dengan pasukan liga divisyen dua (K2), Chungbuk Cheongju.— Instagram/Kogi
Bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City FC, R Kogileswaran mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai pemain tempatan pertama yang beraksi di Liga Korea.
Pemain berusia 24 tahun itu mengesahkan bahawa sudah menandatangani perjanjian setahun dengan pasukan liga divisyen dua (K2), Cheongbuk Cheongju
Bukan hanya Cheongbuk Cheongju, pemain yang mesra disapa Kogi itu turut mendedahkan bahawa beberapa kelab seperti Chungnam Asan juga menunjukkan minat terhadapnya.
Menjadi pemain Malaysia pertama beraksi di saingan liga kompetitif seperti Liga Korea membuatkan nama Kogi menjadi bualan dan warganet di sana juga tidak sabar untuk melihat aksinya bersama kelab tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram