Kelantan FC mungkin 'bereksperimen' lepasi benteng skuad Jang


  • Podium
  • Sabtu, 01 Apr 2023

Pemain Kelantan FC giat menjalani latihan menjelang pertemuan berdepan NSFC dalam aksi Liga Super malam ini. — Facebook/TRW Kelantan FC

PERTEMUAN antara Kelantan FC dan Negeri Sembilan FC dalam aksi keenam Liga Super 2023 pada Sabtu seolah-olah tidak begitu dinanti-nantikan landskap bola sepak tempatan.

Manakan tidak, kedua-dua kelab itu dilihat masih mencari rentak terbaik sehingga ada yang mula berpendapat mereka hanya akan menamatkan saingan di pertengahan carta liga.

Namun, bagi pengikut setia pasukan masing-masing, ia dilihat sebagai peluang terbaik untuk mencatatkan kemenangan dengan harapan keputusan itu dapat menghidupkan semula musim mereka.

Perasaan itu pastinya cukup dirasai peminat fanatik skuad The Red Warriors (TRW) apabila permulaan mereka tidaklah amat membanggakan seperti mana diharapkan.

Pandangan berkenaan dapat dibuktikan apabila mereka hanya menduduki tangga ke-11 Liga Super dengan hanya empat mata dapat dikumpul setakat lima perlawanan.

Lebih menggusarkan lagi, ketua jurulatih pasukan, Choi Moon-sik sepertinya masih belum mendapat gandingan terbaik bagi anak-anak buahnya, termasuk untuk mencari kesebelasan utama.

338022119_1410752246338641_11228748422305739_n

Ismahel sudah menjadi salah seorang tonggak utama TRW ketika ini. Facebook/TRW Kelantan FC

Bagaimanapun, salah seorang pemain yang mula menghilangkan kegusaran rata-rata penyokong ialah penyerang tinggi lampai, Ismahel Akinade.

Dia yang sebelum ini terpaksa melupakan aksi pembukaan liga menentang Kuching City FC sudah berhasil mendapatkan satu gol, iaitu ketika berdepan Penang FC.

Selain itu, pemain berusia 29 tahun berkenaan juga dilihat cukup efisien dalam mengendalikan jentera serangan dengan dua bantuan gol juga direkodkan setakat ini.

Kecemerlangannya itu menyaksikan seorang lagi penyerang import, Nuha Marong terpaksa diletakkan di bangku simpanan bagi memberi peluang kepada Ismahel.

Setakat ini, Nuha hanya berada dalam kesebelasan utama sebanyak sekali, iaitu ketika berdepan skuad The Cats sebelum lebih kerap disisihkan daripada pasukan.

337392309_230819105982929_5999718195178444651_n

Nuha sudah kehilangan tempatnya dalam kesebelasan utama kepada Ismahel. Facebook/TRW Kelantan FC

Tetapi, dengan aksi bertemu Negeri Sembilan FC itu boleh dianggap sebagai cabaran yang kurang merisaukan, penyokong mula berasakan Moon-sik berpeluang untuk melakukan percubaan terhadap anak-anak buahnya.

"Nak sangat saya tengok Nuha dan Ismahel berganding bersama-sama, tengok kemampuan gandingan itu. Nak juga tengok siapa lebih baik antara mereka," kata Faris Fadzlee.

Sejak debut awal musim lalu, Nuha tidak lagi berpeluang beraksi bersama skuad senior dengan pihak kejurulatihan memberi kepercayaan untuknya bersama-sama skuad simpanan.

Namun, pendekatan itu juga masih belum menghasilkan sebarang impak dengan dia masih menunggu untuk mendapatkan gol sulungnya bersama skuad TRW.

Jika berpeluang mengutip tiga mata penuh, pasukan Pantai Timur itu berpeluang berada di sekurang-kurangnya tangga kesembilan berdasarkan pengumpulan mata dan perbezaan gol setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram