Arif-Endrick 'sihat', isu pengadil antara cetus kemarahan fans The Rhinos


  • Podium
  • Sabtu, 01 Apr 2023

Endrick antara pemain yang sebelum ini dilaporkan cedera sehingga terpaksa dilepakan kem Harimau Malaya. — Facebook/JDT

SABAH FC yang disangka akan mampu memecahkan rekod tanpa kalah pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) nampaknya gagal untuk melaksana impian tersebut selepas tersungkur 0-4 di tangan skuad Harimau Selatan.

Beraksi di laman sendiri sememangnya memberi kelebihan buat JDT apabila sudah menggembirakan penonton yang datang ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dengan jaringan gol seawal minit ke-20 daripada pemain sayap Arif Aiman.

Tidak menunggu lama untuk mencetak jaringan kedua, pemain import dari Sepanyol, Juan Muniz tampil menghadiahkan gol kedua Harimau Selatan pada minit ke-39.

Manakala dua jaringan lagi dicetak pada babak kedua yang mana Muhammad Syahmi Safari menjaringkan gol pada minit ke-81 dan Fernando Forestieri mengakhirkan pesta gol JDT pada minit ke-89.

Keputusan akhir perlawanan dua pasukan teratas Liga Super itu tidaklah sengit seperti yang diramalkan berikutan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee gagal untuk menembusi gawang Harimau Selatan.

Namun begitu, apa yang membangkitkan lebih kemarahan penyokong Sabah FC apabila Arif Aiman dan Endrick dos Santos turut beraksi pada aksi keenam Liga Super meskipun sebelum ini dilaporkan tidak dapat menyumbang tenaga pada perlawanan itu.

“Arif Aiman laju betul baik daripada kecederaan dari sebelum ini. Hebat betul JDT. Pakar kesihatan terbaik dunia,' kata penyokong Sabah, Amirul Hakim.

“Kejap saja Endrick dan Arif dah baik cedera terus kesebelasan utama” kata seorang penyokong, Ahmad Mujahid.

WhatsApp Image 2023-04-01 at 00.24.19

Antara aksi pemain pada perlawanan keenam Liga Super itu. — Facebook/JDT

Ada penyokong The Rhinos juga tidak berpuas hati dengan pengadil perlawanan yang disifatkan bersikap tidak adil kepada pemain Sabah, Irfan Zakaria.

“Itu pengadil memang orang pertama rosakkan permainan,” komen seorang penyokong, Adam Yin.

“Memang foul Arif sent Irfan sebelum jaringan,” kata seorang penyokong, Ray Bah.

Sebelum ini, JDT melaporkan berkemungkinan akan kehilangan dua tonggak utamanya iaitu Arif Aiman dan Endrick Dos Santos pada aksi tersebut ekoran masalah kecederaan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram