Anak jati tamak antara 3 tonggak Sang Kenari didesak 'out' aksi seterusnya


  • Podium
  • Sabtu, 01 Apr 2023

Fayadh (kanan) antara teruk dikritik penyokong Kedah selepas sekadar seri 1-1 dengan Sri Pahang. — Facebook/KDAFC

AKSI keenam Liga Super antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC berkesudahan seri 1-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu.

Jaringan pertama hadir menerusi sepakan penalti dari tonggak pertahanan, Stefano Brundo.

Pada babak pertama perlawanan berkenaan, kedua-dua pasukan menunjukkan kehebatan masing-masing dengan melakukan percubaan namun tiada sebarang jaringan tercatat.

Keadaan agak tegang ketika perlawanan pada babak kedua yang menyaksikan sepakan penalti sekali lagi diberikan kepada Tok Gajah.

Sri Pahang bagaimanapun gagal untuk memanfaatkan peluang pada penalti kedua itu apabila sepakan penyerang, Lucas da Silva melambung tinggi.

Gol penyamaan KDA FC akhirnya terhasil daripada pemain gantian, Jonathan Balotelli pada penghujung masa perlawanan.

WhatsApp Image 2023-04-01 at 23.05.04

Antara aksi pemain KDA FC sewaktu perlawanan di Darul Makmur itu. — Facebook/KDAFC

Selain daripada kekecewaan terhadap keputusan akhir itu, penyokong KDA FC juga mula meletakkan kesalahan kepada tiga pemain yang dianggap gagal untuk memberikan aksi terbaik.

Penyokong rata-ratanya tidak gemar dengan sikap tamak dari pemain sayap kelahiran Kedah, Fayadh Zulkifli; kebolehan Willian Lira dan kesilapan dari penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz.

“Penyerang Kedah ini macam tidak reti sangat nak buat peluang. Tak reti nak tembak terus. Mesti nak tahan dulu,” komen penyokong, Mohd Asri MD Jamil.

“Fayadh simpan saja. Tamak sangat. Kalau bola ada dekat dia, dia saja nak,” tambah penyokong KDA FC, Fizzi Hafizi mengenai Fayadh.

“Penjaga gol b***h punca penalti. Clear bola kena penyerang Pahang,” kata seorang lagi penyokong, Abdul Rahman Abdul Mutalib.

Hasil berkongsi satu mata itu, KDA FC kini berada di kedudukan kedua dengan 13 mata, manakala Sri Pahang pula mengutip 10 mata dan berada di tangga kelima Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram