'Kuda tua' kental Sabah terima pujian berbakul-bakul, hampir berjaya rantai Arif Aiman


  • Podium
  • Sabtu, 01 Apr 2023

Min-ko (belakang, kiri) beraksi dengan cukup baik di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat. — Facebook/Sabah FC

PERTEMBUNGAN sengit antara dua pasukan teratas Liga Super iaitu Johor Darul Takzim (JDT) dan Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat menyaksikan tuan rumah membawa pulang tiga mata berharga.

Meskipun skuad Sang Badak dilihat sebagai salah sebuah pasukan terbaik musim ini, kualiti yang dimiliki pendahulu liga itu sememangnya sukar dipersoalkan.

Ia dapat dibuktikan apabila JDT mudah menembusi benteng pertahanan pasukan pelawat sebanyak empat kali, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di persada liga.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila laman media sosial dibanjiri dengan kekecewaan rata-rata penyokong Sabah FC yang terpaksa menelan realiti pahit itu.

Bagi mereka, kekalahan itu sememangnya boleh diterima, lebih-lebih lagi dengan jurang kualiti yang cukup ketara antara kedua-dua kelab itu.

Tetapi, apa yang sedikit menusuk hati rata-rata daripada mereka adalah persembahan kurang meyakinkan daripada hampir keseluruhan pemain di atas padang.

Selain gagal melakukan hantaran mudah, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee juga dilabel kerap mensia-siakan peluang yang akhirnya menyebabkan mereka dihukum pihak lawan.

338760937_522815090017598_4993084043292476879_n

Min-ko (kiri) ketika sedang mencuri bola dari pemain JDT, Fernando Forestieri. Facebook/Sabah FC

Namun, seorang daripada mereka menerima nasib sebaliknya apabila ramai daripada peminat fanatik Sang Badak memuji kemampuannya sepanjang 90 minit berada di atas padang.

Pertahanan kiri, Kwang Min-ko dilabel sebagai pemain terbaik Sabah FC dalam perlawanan itu meskipun memikul peranan besar untuk mengekang gerakan penyerang sayap JDT, Arif Aiman Hanapi.

Dia yang baru sahaja menyertai pasukan Borneo itu jendela perpindahan lalu sudah semakin diberi kepercayaan di samping seorang lagi pemain berpengalaman, Rizal Ghazali di posisi terbabit.

Namun, dalam pertembungan dengan JDT itu, bekas pemain FC Seoul tersebut dikatakan beraksi dengan sepenuh hati meskipun pasukannya tewas dengan keputusan 0-4.

Jadi, sukar untuk dipertikaikan apabila majoriti daripada penyokong Sang Badak sepertinya tidak jemu untuk memberi pujian kepada pemain berusia 34 tahun itu.

"Betul-betul menyerlah ya Min-ko semalam sehingga memaksa pihak kejurulatihan JDT menukar pemain untuk melepasinya," kata Willy L Ter.

"Sangat rajin dia ini, tubuhnya kecil-kecil sahaja tetapi kuat melawan. Di semua posisi dia ada. Mungkin kena tambah baik dari segi kecergasan lagi," kata Martin Mark Kumin.

"Min-ko ini dapat mengawal Arif Aiman dengan ketat, cuma dia mudah hilang fokus apabila cuba membantu pertahanan tengah," kata Jonas Hmt Buangan.

Musim ini, bek kiri terbabit sudah terlibat dalam kesemua perlawanan, namun hanya diberikan kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama untuk tiga perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram