Kenangan konsert Blackpink buat fans gigih bawa pulang 'hadiah' dari SNBJ


  • Podium
  • Jumaat, 31 Mac 2023

Harimau Malaya dijangka dapat menggunakan semula SNBJ pada saingan Pestabola Merdeka pada hujung Oktober ini. — Facebook/FAS

STADIUM Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang bakal berwajah baharu menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia merupakan antara pembaharuan yang dinantikan ramai khususnya peminat bola sepak kebangsaan.

Padang SNBJ itu dijangka siap selewat-lewatnya Oktober ini dan difahamkan menelan kos berjumlah RM2.3 juta dan ditaja oleh pemilik Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai sumbangan kepada pembangunan bola sepak Malaysia.

Sempena kerja-kerja penggantian rumput jenis ‘zeon zoysia’, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah memberi kebenaran kepada orang ramai untuk membawa pulang rumput jenis 'Cow Grass' itu secara percuma pada Jumaat.

Disebabkan tawaran sekali seumur hidup itu, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mengambil rumput tersebut sebagai kenangan dan ada juga yang membawanya pulang untuk membuat padang mini di pekarangan rumah mereka.

Mana tidaknya, rumput tersebut ialah venue skuad Harimau Malaya meraih kejayaan layak ke Piala Asia 2023 secara merit mengakhiri penantian lebih empat dekad pada Jun tahun lepas yang menyaksikan Malaysia menewaskan Turkmenistan 3-1

Malah, keramat Harimau Malaya itu juga merupakan venue untuk pelbagai acara sukan dan hiburan lain, seperti tahun ini antara konsert artis antarabangsa yang pernah diadakan di SNBJ ialah Jay Chow serta Blackpink.

"Boleh buat padang bola mini sebelah rumah ini," komen pengguna Instagram, forlife yang tertarik untuk membawa hadiah dari SNBJ itu.

"Ambillah sikit. Dapatlah rasa bau-bau Blankpink hari itu," kata seorang lagi pengguna, 4mirulsyafiq.

"Pehh tanam kawasan ruang atau padang taman, rasa macam main di Bukit Jalil woo," jelas seorang lagi pengguna Instagram, Fitrirashidd.

Pasukan Harimau Malaya dijangka dapat menggunakan semula SNBJ pada saingan Pestabola Merdeka pada hujung Oktober ini.

Untuk rekod, Stadium Nasional sebelum ini pernah menggunakan rumput jenis Bermuda Greenless Park bermula 1998-2005, Marimo Seashore Paspalum bersama Zoysia Material (2005-2013), dan Bermuda Mountain Green bersama Princess (2013-2015). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram