Dulu dipertikai sertai Liga M, kini fans seberang mula berterima kasih dengan Harimau Selatan


  • Podium
  • Jumaat, 31 Mac 2023

Jordi dilantik sebagai kapten Harimau Selatan pada musim 2023. — Instagram/Jordi

TONGGAK import Johor Darul Takzim (JDT), Jordi Amat semakin berada di kelasnya tersendiri pada saingan Liga Super 2023 terutamanya selepas dia menjadi antara tunjang utama skuad Harimau Selatan dalam lima perlawanan awal ini.

Sepanjang mengharungi lima aksi bersama Harimau Selatan, pertahanan kental tersebut tampil dalam semua perlawanan Liga Super dan turun beraksi selama 90 minit.

Meskipun belum sampai semusim bersama JDT, namun Jordi mendapat kepercayaan pengendali, Esteban Solari dan barisan kejurulatihan apabila dia diamanahkan untuk memikul tugas sebagai kapten pasukan.

Lebih menarik apabila pengalamannya bersama pasukan Harimau Selatan itu digunakan sebaik-baiknya bersama skuad kebangsaan Indonesia pada perlawanan persahabatan pasukan tersebut baru-baru ini.

Sebelum ini, pemain kelahiran Sepanyol itu menyatakan bahawa dia tidak mahu pengalamannya disimpan hanya ketika mempertahankan JDT tetapi berazam untuk menggunakannya ketika membantu pasukan Indonesia.

Bukti pengalamannya di kem Harimau Selatan membuahkan hasil apabila pemain berusia 31 tahun itu mencetak gol pertamanya bersama Indonesia dalam aksi persahabatan menyaksikan Indonesia mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Burundi.

WhatsApp Image 2023-03-30 at 23.48.28

Jordi ketika meraihkan jaringan pertama Indonesia bersama rakan sepasukannya. — Instagram/Jordi

Jordi yang kini sudah beraksi sebanyak enam perlawanan bersama skuad Garuda digelar wira negaranya berikutan jaringannya pada minit akhir itu menjadi faktor Indonesia tidak tewas dalam perlawanan tersebut.

Oleh sebab itu, ramai penyokong Indonesia yang mulai mengakui bahawa keputusan Jordi menyertai skuad Harimau Selatan dan beraksi di Liga Malaysia adalah tindakan yang betul.

“Kualiti JDT dengan pasukan Eropah itu hampir sama dan boleh dilihat dari mereka mendominasi Liga Malaysia. Lain lagi apabila JDT mempunyai fasiliti yang serba lengkap. Kualiti Jordi Amat tidak akan mengurang selagi dia bersama JDT,” komen penyokong skuad Garuda, FattahSyah13.

“Saya tak pernah kecam dia. Sedikit kecewa kerana dia meninggalkan Eropah tetapi seronok tengok dia beraksi bersama Indonesia,” komen seorang lagi penyokong, ariopinandito.

Terdahulu, ramai rakyat Indonesia menolak keputusannya untuk bermain bersama JDT dan ramai yang menuduh Jordi hanya menggunakan pasport Indonesia untuk mengisi kuota pemain Asia JDT.

Bukan itu sahaja, Jordi juga dianggap tergoda dengan tawaran gaji lumayan di JDT berbanding kelab Eropah yang lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram