JUARA sembilan kali berturut-turut Johor Darul Takzim (JDT) menyifatkan Sabah FC merupakan pasukan yang perlu diberikan perhatian berdasarkan persembahan konsisten kelab dari Negeri di Bawah Bayu itu dalam saingan Liga Super musim ini.
Pengendali JDT, Esteban Solari berkata, perlawanan menentang anak buah Datuk Ong Kim Swee pada Jumaat merupakan satu perlawanan yang sukar memandangkan The Rhinos juga mempamerkan prestasi yang baik selepas lima perlawanan pembukaan liga, lapor Stadium Astro.
“Kami perlu fokus secara taktikal sepanjang 90 minit. Kami menunjukkan prestasi yang baik setakat ini tetapi masih ada banyak ruang untuk ditambah baik.
“Walaupun skuad ini secara amnya berada dalam keadaan yang baik, terdapat beberapa pemain yang belum cergas sepenuhnya dan masih menjalani pemulihan.
“Natxo Insa hampir kembali selepas beberapa bulan tidak beraksi akibat kecederaan belakang manakala Bergson Da Silva masih belum cergas sepenuhnya selepas terlepas tiga perlawanan terakhir,” katanya yang juga pengurus Harimau Selatan.
JDT kini mengungguli saingan liga dengan 15 mata manakala Sabah pula di kedudukan kedua dengan 13 mata selepas masing-masing mengharungi lima perlawanan liga.
Untuk rekod, perlawanan ini juga disifatkan sebagai perlawanan berintensiti tinggi yang akan menguji keberkesanan percaturan taktikal Solari dan Kim Swee.
Pada masa sama Solari memaklumkan bahawa tuan rumah bermungkinan kehilangan khidmat Aiman Hanapi dan Endrick dos Santos dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
“Arif Aiman Hanapi dan Endrick dos Santos juga tidak cergas 100 peratus dan masih menjalani pemulihan serta latihan ringan.
“Kami berharap pemain-pemain ini kembali cergas sepenuhnya untuk perlawanan menentang Sabah dan perlawanan akan datang,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram