‘LAPTOP Cabuk’ menemui pembaca sekali lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
TERNGIANG-NGIANG satu perkataan yang terpacul dari mulut Bojan Hodak selepas Kuala Lumpur (KL) City FC kendaliannya menyingkirkan Melaka United 5-3 menerusi penentuan penalti dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia 2021 di Stadium Hang Jebat: “Lucky! (Nasib baik).”
Malah, sedari awal musim itu lagi, tidak ramai yang menaruh kepercayaan terhadap pasukan Warga Kota itu yang sebelumnya lebih sinonim dengan bergelut.
Pada penghujungnya, apabila KL City tidak hanya menempah pertemuan dengan Johor Darul Takzim (JDT) dalam final Piala Malaysia edisi ke-100 itu, malah mengunggulinya 2-0, nama mereka mula meniti dari bibir ke bibir.
Juga, tuah tidak semata-mata menjadi sandaran ketika mereka mara sejauh perlawanan akhir Piala AFC 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil – di atas tiket juara Piala Malaysia itu -- hanya untuk tunduk 0-3 kepada kelab Oman, Al Seeb.
Aksi pertama Liga Super 2023 antara JDT dan KL City FC menyaksikan skuad Warga Kota tewas 0-3. — Facebook/KLCity
“Kami percaya kepada impian kami, yang kami boleh melakukan sesuatu seperti ini. Biarlah kalau tiada sesiapapun yang percayakan kami,” katanya ketika itu.
Semusim berselang sejak itu, Bojan mempertahankan bahawa KL City FC masih di tahap WIP (kerja-kerja dalam pembikinan) berbanding sebuah pasukan yang seharusnya sudah lengkap serbi-serbi selepas pencapaian pada musim 2021 dan 2022 itu.
Berkedudukan di tangga ke-11 – kelompok pasukan corot -- dalam Liga Super ketika ini diakuinya 'canggung' tapi mereka masih boleh menghela nafas lega kerana musim masih terlalu awal.
Di samping itu, KL City FC bermain kurang satu perlawanan setelah pertemuan dengan Negeri Sembilan FC di Paroi pada 11 Mac lalu ditangguhkan selepas hanya aksi 27 minit disebabkan hujan lebat dan padang ditakungi air.
“Selepas kejayaan dalam Piala Malaysia dan menjadi naib juara Piala AFC, banyak yang diharapkan daripada kami tapi itu adalah normal.
“Orang terlupa yang (sebelum itu) KL tiada apa-apa pun selama 30 tahun.
“Tapi kami masih sebuah kelab berbajet kecil dan kehilangan pemain utama setiap tahun. Tahun ini, kami hilang (pemain pertahanan) Irfan Zakaria (kepada Sabah). Jadi, proses membina semula pasukan berlaku setiap tahun.
“Kami menukar ramai pemain dan sudah tentu pemain-pemain seperti Tchetche Kipre dan Herlison Caion memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan baru," katanya dalam temu bual dengan Laptop Cabuk.
Caion merupakan antara tonggak import KL City FC musim 2023. — Facebook/KLCity
Namun, apa yang diterapkan oleh Hodak sepanjang musim 2021-2022 itu sebenarnya ialah menanamkan dalam diri setiap pemainnya kepercayaan terhadap kemampuan mereka sendiri.
Dan, dia melihat perkara itu berulang musim ini.
“Benar, kami menjangkakan untuk meraih lebih banyak mata (berbanding hanya tiga mata daripada empat perlawanan setakat ini) tapi kami sebenarnya tidak tercicir terlalu jauh.
“Juga orang sering terlupa yang kami lebih baik pada separuh kedua musim untuk dua tahun berturut-turut.
“Kami di tangga keenam liga pada 2021 dan sekali lagi di tangga keenam musim lalu. Musim ini tidak berbeza apabila kami bermula dengan perlahan,” tambahnya.
Bojan juga mengakui pemain-pemainnya hanya dapat menyalahkan diri sendiri dalam dua perlawanan yang mereka seharusnya tidak mencicirkan mata.
Dalam perlawanan sulung yang berkesudahan seri 2-2 dengan Penang FC pada 25 Februari lalu, KL City sudah pun mendahului dengan dua jaringan di samping kedudukan pihak lawan yang hanya beraksi dengan 10 pemain bermula pada minit ke-58.
Namun, pasukan tuan rumah di Stadium Bola Sepak Cheras itu membenarkan pasukan pelawat bangkit menyamakan kedudukan di fasa akhir perlawanan menerusi Hadin Azman pada minit ke-73 dan Gomez da Silva pada minit ke-85.
Kemudian, KL City banyak mensia-siakan peluang ketika seri 0-0 dengan Terengganu FC di Kuala Terengganu pada 5 Mac.
KL City seri 0-0 dengan Terengganu FC di Kuala Terengganu pada 5 Mac. — Facebook/KLCity
“Kami tidak pernah menang di Terengganu untuk satu tempoh yang lama. Ini hanya memanjangkan lagi rekod itu.
“Dalam perlawanan menentang Kelantan (7 Mac), kami mendominasi permainan di tempat lawan itu tetapi gagal mengekalkan pendahuluan sehingga tamat.
“Sebanyak mana pun anda mahu merungut, inilah bola sepak,” ujarnya.
Apabila diingatkan mengenai perawakannya pada masa lalu hingga dia sering dilabelkan sebagai 'kepala angin', Bojan sekadar tertawa.
Baginya, perbezaan di antara perawakan sebagai seorang yang tegas dan berterus terang, dengan seorang yang 'kepala angin', ada kalanya cuma dipisahkan oleh satu garis yang teramat tipis.
“Apabila anda kalah perlawanan, anda mungkin hilang sedikit pertimbangan pada waktu itu.
“Tapi sebagai seorang profesional dan berpengalaman, saya kini lebih cepat dalam mencari jalan menyelesaikan masalah membabitkan pasukan saya,” katanya lagi.
Liga Super akan bersambung malam esok selepas tempoh rehat antarabangsa, dengan antara lain menemukan KL City FC dengan Selangor FC dalam ‘derby Lembah Klang’ di Stadium Bola Sepak Cheras.
“Ini adalah satu perlawanan yang tiada siapa antara kami (dengan ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe) rela tewas.” — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram