Tomas Trucha dalam bahaya, 3 jurulatih lain yang pernah dibuang seawal 5 perlawanan liga


  • Podium
  • Ahad, 26 Mac 2023

Tomas Trucha kini dalam kedudukan bahaya jika tidak dapat kembalikan prestasi pasukan Kelantan United. — Facebook/Kelantan United

DALAM dunia bola sepak, prestasi tidak cemerlang lazimnya mendorong pemecatan seseorang jurulatih itu daripada terus diberikan kepercayaan untuk mengendalikan pasukan.

Perkara ini dilakukan bagi memuaskan hati pihak pengurusan ataupun menggembirakan penyokong.

Namun dalam Liga Malaysia sudah menjadi kebiasaan jika timbul desa desus khabar angin pasukan akan memecat ketua jurulatih selepas lima perlawanan walaupun liga baru bermula.

Tomas Trucha

Tomas Trucha. — Facebook/Kelantan United

Seperti situasi yang berlaku dalam bola sepak tempatan ketika ini apabila pengendali jurulatih Kelantan United, Tomas Trucha yang diberi kata dua oleh pihak pengurusan untuk kembalikan prestasi pasukan.

Tomas Trucha mungkin menjadi jurulatih pertama bakal dipecat oleh pihak pengurusan Kelantan United jika prestasi pasukan tidak berubah.

Selain Trucha yang kini di ambang bahaya, Majoriti senaraikan tiga jurulatih yang paling cepat pernah kena pecat dengan pengurusan pasukan.

Ahmad Yusof

Ahmad Yusof dipecat selepas lima perlawanan oleh Terengganu FC pada 2016.

1. Ahmad Yusof (Terengganu FC)

Legenda Pahang, Ahmad Yusof pernah dipecat oleh pihak pengurusan Terengganu FC (TFC) selepas mengendalikan lima perlawanan buat pasukan Terengganu pada 2016.

Pada musim 2015, Ahmad Yusof merupakan penolong jurulatih skuad Sang Penyu yang mana dia dinaikkan pangkat selepas Ketua Jurulatih Terengganu ketika itu, Abdul Rahman Ibrahim membuat keputusan untuk berehat.

Selepas itu baki perlawanan liga dikendalikan oleh Ahmad Yusof yang mana dia berjaya mencatatkan 10 kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan sekali gus meletakkan TFC di tangga keempat Liga Super 2015.

Berdasarkan rekod baik itu, pihak pengurusan membuat keputusan untuk melantik Ahmad Yusof sebagai ketua jurulatih pada 2016.

Tetapi pada 2016, taktikal Ahmad Yusof tidak menjadi apabila TFC gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam lima.

Pada musim itu Terengganu turut tersingkir awal daripada kejohanan Piala FA apabila tewas dengan pasukan Liga Perdana, PKNS FC.

Santhit Bensoh

Sathit Bensoh melepaskan jawatannya selepas tiga perlawanan Liga Super pada 2018. — Facebook/Kelantan FA

2. Sathit Bensoh (Kelantan FC)

Jurulatih kelahiran Thailand, Sathit Bensoh mengundurkan diri selepas gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam tiga perlawan Liga Super pada 2018.

Sathit Bensoh awal pembabitannya dalam Liga Malaysia ialah sebagai penolong jurulatih kepada Zahasmi Ismail, namun diangkat menjadi ketua jurulatih sementara pada penghujung musim 2017.

Bensoh ketika itu sempat mengendalikan satu perlawanan Liga Super 2017 dan berjaya mencatat kemenangan pertama sebagai ketua jurulatih.

Bagi musim 2018, meskipun pihak pengurusan bersedia untuk mencari ketua jurulatih yang baharu, Bensoh menawarkan diri bagi jawatan itu.

Malah dia turut memberi jaminan kepada pihak pengurusan Kelantan FC dia akan memberikan kemenangan buat skuad The Red Warriors dalam tiga perlawanan awal liga.

Malangnya perkara itu tidak berlaku apabila Kelantan FC gagal mencatatkan sebarang perlawanan Liga Super 2018.

Bensoh yang gagal memberikan kemenangan buat pasukan Kelantan akhirnya dia dipecat oleh pihak pengurusan dan digantikan dengan Yusri Che Lah.

Thomas Dooley mengendalikan pasukan kebangsaan Filipina. — Facebook/Sri Pahang

3. Thomas Dooley (Sri Pahang FC)

Hanya selepas dua perlawanan, Dooley yang merupakan bekas pemain kebangsaan Amerika Syarikat direhatkan serta-merta kerana kalah dua perlawanan Liga Super 2021.

Dooley sebelum itu tidak pernah mengendalikan mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia dan Sri Pahang merupakan kelab pertama yang dibimbingnya.

Dooley pernah menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan Amerika Syarikat dan menjawat jawatan Ketua Jurulatih Filipina serta menjadi Pengarah Teknikal Viettel FC di Vietnam.

Meskipun membawa reputasi cemerlang ia tidak menghalang Dooley menjadi mangsa kekejaman Liga Super.

Ada dakwaan mengatakan keputusan itu diambil hanya beberapa hari selepas Dooley mengkritik fasiliti latihan Pahang yang daif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram