Fans Selangor beri idea 'wow' bantu pulihkan isu kecergasan


  • Podium
  • Isnin, 27 Mac 2023

Isu kecergasan masih menghalang skuad Gergasi Merah untuk muncul sebagai pencabar Liga Super. — Facebook/Selangor FC

KEKALAHAN 0-4 yang dialami Selangor FC kepada Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium MBPJ 17 Mac lalu cukup menusuk hati penyokong skuad Gergasi Merah.

Selain mencalarkan rekod tanpa kalah mereka, keputusan itu membuktikan bahawa masih terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan pihak pengurusan.

Antara isu yang semestinya diberikan perhatian adalah mengenai masalah ketumpulan jentera serangan yang diketuai pemain import Colombia, Ayron del Valle.

Selain itu, ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe juga sepertinya masih tidak dapat mencari kesebelasan terbaik pasukan dengan beberapa wajah-wajah baharu masih menunggu nasib masing-masing.

Namun, ia pastinya tidaklah terlalu membimbangkan pasukan Lembah Klang itu memandangkan mereka berada di kedudukan keempat Liga Super selepas empat perlawanan.

Bagi penyokong pula, mereka seakan-akan tidak mahu memberi tekanan berlebihan kepada pemain dan barisan kejurulatihan dengan musim 2023 masih panjang untuk ditempuhi.

Tetapi, mereka juga pastinya tidak mahu terlalu selesa, lebih-lebih lagi sekiranya skuad Gergasi Merah mahu menamatkan kemarau trofi hampir lapan tahun yang dialami setakat ini.

Berdasarkan beberapa luahan di media sosial, pengikut fanatik pasukan berharap untuk menyaksikan aspek kecergasan pemain diberi penekanan.

Hal itu adalah kerana masalah tersebut merupakan faktor utama skuad Harimau Selatan terlalu mudah mengatasi pemain meskipun beraksi dengan cukup baik pada separuh masa pertama permainan.

WhatsApp Image 2023-03-27 at 15.50.37

Adakah legenda badminton ini akan tertarik sekiranya diberikan peluang?

Lebih menarik lagi, seorang penyokong Selangor FC, Mzzha Muhd Said mahu mengambil pendekatan drastik dengan memberi cadangan kepada pihak pengurusan kelab.

"Lantik Datuk Misbun Sidek untuk jadi jurulatih kecergasan, barulah pemain tahu apa itu erti kecergasan. Tengok sahaja ketika Datuk Lee Chong Wei di bawah seliaannya, tapi perlu berani untuk berubah," katanya.

Ketegasan anak jati Banting, Selangor itu sememangnya wajar diberi pujian dengan Chong Wei serta anak didikannya yang lain sering menceritakan karakter beliau.

Meskipun tidak pernah menceburi sukan lain berbanding badminton, Misbun yang membesar ketika zaman kegemilangan kelab itu pasti cukup tertarik sekiranya diberikan peluang.

Cadangan Mzzha itu turut menarik perhatian beberapa penyokong lain yang juga tertarik dengan pendekatan berbeza dalam mengembalikan semula zaman kegemilangan juara 33 kali Piala Malaysia itu.

"Setuju sangat. Dulu, pukul 4 pagi lagi, sudah kelihatan mereka berlari di sekitar Kampung Kanchong Darat, Selangor tu," kata Hasziani Hassan.

Ketika ini, jawatan jurulatih kecergasan Selangor FC dipikul I Arulchelvan yang juga pernah berkhidmat bersama Negeri Sembilan FC ketika mereka menjuarai Liga Perdana 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram