Fans Gergasi Merah rekod 'team adik' jadi tonik jinakkan JDT


  • Podium
  • Jumaat, 17 Mac 2023

Penyokong Selangor yakin pasukan mereka mampu mencipta kejutan ketika menentang JDT pada Jumaat. — Bernama

PERLAWANAN antara Selangor FC dan juara bertahan, Johor Darul Takzim pada Jumaat merupakan aksi yang ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak tanah air.

Kedua-dua pasukan ketika ini merupakan antara pasukan yang menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam empat perlawanan utama liga.

Seperti dijangka, skuad Harimau Selatan tidak mempunyai masalah untuk memungut mata maksimum dalam keempat-empat perlawanan bagi membolehkannya berada puncak liga.

Malah, skuad kendalian, Esteban Solari juga dilihat berada di momentum terbaik apabila berjaya mencatatkan kemenangan besar dalam dua aksi terakhir dengan menewaskan Kelantan FC 5-1 dan Negeri Sembilan FC 7-0.

SFC 1

Red Giants keciciran mata selepas merekodkan keputusan seri 1-1 ketika menentang Sri Pahang FC. — Facebook/SelangorFC

Bagaimanapun, skuad Gergasi Merah ketika ini dilihat turut menonjolkan prestasi yang agak positif apabila masih belum mencatatkan sebarang kekalahan.

Selangor FC yang berada di kedudukan ketiga liga dengan memperoleh 10 mata dan berkongsi mata yang sama dengan pasukan di tangga kedua, Sabah FC, hanya keciciran mata ketika perlawanan ketiga menentang Sri Pahang FC.

Dalam perlawanan yang terjejas oleh cuaca hujan lebat dalam aksi separuh masa kedua itu, Red Giants terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.

Dengan prestasi semasa ditunjukkan itu, pastinya pelbagai kemungkinan boleh dicipta oleh skuad kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Lebih-lebih lagi, Selangor FC bakal beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan keseluruhan tiket perlawanan tersebut sudah habis terjual.

sfc3

Tiket perlawanan Selangor FC menentang JDT di Stadium MBPJ habis terjual pada Khamis. — Facebook/SelangorFC

Untuk rekod, perlawanan terakhir kedua-dua pasukan menyaksikan Gergasi Merah hanya tewas tipis 2-1 kepada JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada November tahun lalu.

Aksi tersebut merupakan satu-satunya perlawanan Selangor FC menentang JDT selepas Cheng Hoe mengambil-alih skuad tersebut.

Dalam pada itu, penyokong Selangor rata-ratanya mempunyai keyakinan bahawa pasukan mereka mempunyai peluang membuat kejutan di sebalik prestasi hampir sempurna ditunjukkan JDT dalam permulaan liga.

Malah ada antaranya yang turut menyatakan keyakinan terhadap Cheng Hoe untuk merencana strategi terbaik untuk memberi cabaran terhadap pasukan lawan.

Rumah Atap berkata, jurang perbezaan kualiti antara JDT dan pasukan lain di liga Malaysia tidak terlalu besar untuk memberikan saingan ketika perlawanan liga.

SFC

Penyokong Selangor percaya Cheng Hoe mempunyai perancangan taktikal tersendiri untuk memberi cabaran kepada JDT. — Facebook/SelangorFC

"Mungkin dari sudut kualiti JDT ada kelebihan 30 hingga 40 peratus daripada mana-mana pasukan, memang ada jurang. Tapi perbezaan jurang tidak begitu jauh dari segi taktikal.

"Jika nak seri, atau jaringan kecil, memang corak taktikal pertahanan penting. Lihat Negeri Sembilan FC, mengapa sampai kena 'lauk' 7-0? Permainan terbuka memang menarik, tetapi taktikal itu memakan diri.

"Lihat perlawanan Kelantan 5-1, separuh masa pertama terlalu terbuka, menarik, tapi kena 4-0. Separuh masa kedua, taktikal bertahan dengan serangan balas. JDT hanya berjaya tambah satu jaringan, Kelantan FC dapat satu gol," katanya.

ISKANDAR PUTERI, 31 Okt -- Pemain JDT Bergson Gustavo Silveira d Silva (kanan) dicabar pemain pertahanan PJ City FC Aroon Kumar Ramaloo pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. JDT menang 2-0 pada perlawanan itu sekaligus mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas menang bergaya 6-0 secara agregat. --fotoBERNAMA(2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

PJ City FC menjadi satu-satunya pasukan yang mengalahkan JDT pada musim 2018/2019.

Sementara itu, Ecam Kecik pula menulis, "Fokus perlawanan, jangan emosi, seronok bermain, pasti tiga mata milik kita," ujarnya.

Dalam pada itu, terdapat juga penyokong meminta pemain Selangor FC untuk mengambil semangat pernah ditunjukkan pasukan PJ City FC, iaitu satu-satunya pasukan yang menewaskan JDT dalam perlawanan liga pada musim 2018/2019 dengan jaringan 1-0.

"PJ City FC, pernah kalahkan dan rekod keputusan seri dengan JDT, guna semua pemain tempatan pula tu," ujar kata Shahril Mohamad.

PJ City FC yang juga dilihat sebagai pasukan 'adik' kepada Selangor FC membuat keputusan menarik diri daripada Liga Super 2023 disebabkan masalah kewangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram