Kelibat penyerang import hilang dari radar buktikan Mintah bakal kembali tampil aksi berbisa


  • Podium
  • Jumaat, 10 Mac 2023

Mintah (kiri) dikhabarkan bakal diturunkan ketika aksi bertemu skuad Sang Saka Biru pada Sabtu. — Facebook/Terengganu FC

TIGA perlawanan Liga Super yang ditempuhi Terengganu FC menyaksikan pasukan Pantai Timur itu masih kempunan untuk mencatatkan kemenangan pertama.

Kekalahan yang dialami ketika berdepan Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi Piala Sumbangsih disusuli dengan satu lagi keputusan mengecewakan semasa bertandang ke Stadium Darul Aman, Kedah.

Lebih mengecewakan lagi, harapan untuk membawa pulang tiga mata berharga ketika berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC di laman sendiri tidak berhasil berikutan ketumpulan barisan serangan.

Sebilangan besar penyokong Sang Penyu mula menunding jari ke arah kemampuan penyerang yang masih bergelut dalam mencipta keserasian bersama rakan sepasukan.

Pemain kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn menjadi antara tumpuan selepas kemasukannya ketika jendela perpindahan lalu mencetuskan keriangan.

Meskipun sudah diletakkan dalam kesebelasan utama bagi kesemua aksi Liga Super setakat ini, sentuhannya di hadapan pintu gol terus menimbulkan tanda tanya.

1933540

Adisak dijangka bakal digugurkan ketika aksi bertemu PDRM FC. Facebook/Terengganu FC

Jadi, dengan pasukan itu bakal menerima kunjungan PDRM FC pada Sabtu, sebahagian besar penyokong mahu melihat khidmat pemain kelahiran Ghana, Jordan Mintah digunakan.

Musim lepas, penyerang itu dipinjamkan ke KL City FC ketika jendela perpindahan kedua selepas dia hanya diletakkan dalam skuad simpanan Terengganu FC.

Namun, walaupun terus didesak, ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner seakan-akan masih berdegil untuk menggunakan khidmat Adisak.

Tetapi, baru-baru ini, harapan peminat setia pasukan sepertinya didengari apabila kelibat penyerang berusia 32 tahun itu tidak terlihat dalam sesi latihan.

Oleh itu, pelbagai respons positif diberikan yang menyokong kemasukan Mintah ketika pertembungan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

"Kalau betul Mintah diletakkan dalam kesebelasan utama lawan PDRM FC, harap boleh jaringkan. Takut diberi terlalu banyak tekanan pula," kata Zul Hakkym.

"Harapnya Mintah beraksi dengan baik, buktikan anda masih berbisa. Barulah boleh dikekalkan dalam skuad utama Terengganu FC," kata Muhammad Sharifuddin Razak.

Ketika ini, naib juara Liga Super 2022 itu hanya membawa pulang satu mata yang mana menyaksikan mereka berada di tangga tercorot selepas tiga perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram