
SELEPAS isu kelewatan pemakluman penjualan tiket bagi aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC pada Jumaat ini, timbul isu lain membabitkan medium penjualan tiket tersebut.
Laman rasmi JDT pada Rabu memaklumkan bahawa tiket bagi aksi antara kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Ibrahim akan mula dijual menerusi https://tickets.jdtfc.com.my/ pada 22 Februari bermula pukul 2 petang.
Menurutnya, setiap penyokong sekadar boleh membeli empat tiket sahaja manakala para pemegang pas bermusim hanya perlu menunjukkan pas anda di pintu-pintu masuk untuk kemasukan ke stadium.
Penjualan tiket Piala Sumbangsih 2023 dibuat agak lewat iaitu dua hari sebelum perlawanan berlangsung. — Facebook
Tinjauan Majoriti di laman web jualan tiket setakat pukul 11 pagi mendapati platform tersebut masih belum boleh diakses kerana dalam proses penyelenggaraan.
Berkemungkinan laman web itu akan live pada pukul 2 petang selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh kelab Harimau Selatan.
Di sebalik pemakluman berkenaan, ada penyokong yang mempersoalkan mengapa medium penjualan tiket tidak dibuat menerusi https://www.tickethotline.com.my/.
Laman web Ticket Hotline masih menjadi platform jualan tiket bagi aksi Liga Super 2023.
Ini kerana ada yang bimbang timbul isu-isu seperti masalah teknikal dalam urusan pembelian tiket kelak seperti laman web crash atau down gara-gara diserbu penyokong yang tidak mahu ketinggalan mendapatkan tiket bagi perlawanan berkenaan.
Malah, butiran mengenai pembelian tiket bagi penyokong Terengganu FC juga tidak dinyatakan secara terperinci yang menimbulkan persoalan dalam kalangan mereka.
Sebelum ini pun tiket bagi aksi Piala Sumbangsih habis dijual tidak sampai tempoh 10 minit ia dibuka di Ticket Hotline.
Ticket Hotline adalah vendor penjualan tiket bagi kejohanan Piala Sumbangsih 2022 antara JDT dan KL City FC. — Facebook
Untuk rekod, Ticket Hotline merupakan vendor penjualan tiket secara dalam talian untuk kejohanan Piala Sumbangsih 2022 antara JDT dan KL City FC di Stadium Sultan Ibrahim.
Ticket Hotline juga adalah vendor penjualan tiket bagi kejohanan Piala Sumbangsih 2021 yang membabitkan pasukan JDT dengan Kedah Darul Aman FC, cuma ia berlangsung tanpa kehadiran penonton angkara pandemik Covid-19.
Malah sebelum ini, JDT juga pernah menggunakan Ticket Hotline untuk pembelian secara dalam talian bagi aksi perlawanan akhir Piala Malaysia antara kelab itu dengan KL City FC pada 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram