'Lepaskan' pemain JDT antara tekaan fans pasca pertemuan TMJ, FAM


  • Podium
  • Sabtu, 11 Feb 2023

Tunku Ismail sewaktu menerima menghadap Hamidin Kim Pan-gon pada Sabtu. —Facebook/JDT

PEMILIK Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon pada Sabtu.

Berdasarkan perkongsian di laman Facebook rasmi JDT, pertemuan yang diadakan di ibu pejabat pasukan Harimau Selatan itu bertujuan untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan bola sepak kebangsaan.

Perjumpaan tiga individu berpengaruh dalam industri bola sepak tanah air itu menarik perhatian penyokong terutamanya apabila Hamidin sebelum ini pernah menyatakan bahawa beliau tidak menolak kebarangkalian jika Tunku Ismail menjawat jawatan sebagai pengurus Harimau Malaya.

Selain daripada perkara tersebut, ada juga penyokong yang membuat tekaan bahawa kedua-dua wakil dari Harimau Malaya itu sedang meminta izin untuk menggunakan pemain Harimau Selatan menjelang perlawanan persahabatan skuad kebangsaan nanti.

Baru-baru ini Hamidin ada mengatakan bahawa skuad di bawah kendalian Pan-gon akan memulakan aksi persahabatan menentang dua pasukan yang menghuni ranking lebih tinggi sebagai persediaan ke Piala Asia 2023.

SSI

SSI berkemungkinan akan menjadi 'rumah sementara' Harimau Malaya.

Tidak kurang juga ada yang mengaitkan perjumpaan tersebut adalah untuk menggunakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai gelanggang sementara Harimau Malaya susulan Stadium Nasional Bukit Jalil kini dalam proses menaik taraf padang.

"Mesti pengurus Harimau Malaya," komen penyokong, Payung Rock.

"Itu mesti nak minta Tunku Ismail lepaskan pemain untuk perlawanan persahabatan kan," kata seorang lagi penyokong, Hairul Kamal Mohd Tahir.

"Pasal nak guna SSI dan nak lantik Tunku Ismail sebagai pengurus Harimau Malaya mungkin," tambah penyokong yang menggunakan akaun Facebook, Md Yazid.

Meskipun tiada yang dapat pastikan apakah agenda utama perbincangan tersebut namun semestinya ia adalah untuk memajukan industri bola sepak tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram