Dah 'move on' dari Penang FC, Lucas Silva dedah sebab pilih Tok Gajah


  • Podium
  • Ahad, 05 Feb 2023

Lucas (kiri) mahu mengulangi prestasinya pada musim lalu dan sedia bekerja keras untuk mencapainya. — Facebook

TATKALA skuad Haria Penang Haria menjuarai Piala Harapan 2023 menerusi kemenangan ke atas Selangor FC, ramai penyokong Sang Kumbang berasakan pasukan itu semakin bersedia mengharungi cabaran Liga Super musim ini.

Bayang kesebelasan utama terbaik pasukan itu bagai sudah ada dalam tangan pengendalinya, Manzoor Azwira. Salah seorang tentunya Man of the Match aksi final Piala Harapan iaitu penyerang baharu Penang FC, Soony Saad.

Ramai penyokong berasakan gandingan import dari Lubnan itu dengan bekas peledak Harimau Kumbang, Lucas Silva akan memberikan lebih sengat dengan bahagian serangan.

Namun sayangnya, Lucas yang kini mencari makan di Sri Pahang FC nampaknya seperti sudah move on daripada kelab utara tanah air itu.

328850771_6153387464711426_849705321239889246_n

Lucas (kanan) memilih untuk bekerja dengan Fandi Ahmad di Sri Pahang FC. — Facebook

Menerusi hantaran terbaharu di Instagram Story pada Ahad, Lucas berkongsi temu bual dengan Nadi Arena yang antara lain mendedahkan sebabnya ke skuad Tok Gajah tersebut.

Bintang dari Brazil itu memaklumkan antara faktor utama dia menyertai Pahang musim ini adalah kerana tertarik dengan perancangan pengurusan pasukan tersebut.

Pemain berketinggian 1.83 meter itu mengakui tugas berat menantinya apabila bakal bertindak selaku peledak pasukan bersama dengan seorang lagi penggempur berpengalaman, Kpah Sherman.

Dengan kehadiran beberapa muka baru berkualiti bersama Tok Gajah, pemain berusia 32 tahun itu percaya skuad kendalian Fandi Ahmad mampu muncul antara pencabar utama liga musim ini.

328581777_6061903053872232_3449420101079235088_n

Kpah Sherman bakal bergandingan dengan Lucas di bahagian serangan Sri Pahang FC. — Facebook

"Sebelum memutuskan untuk menyertai Sri Pahang, saya sempat menonton beberapa perlawanan mereka dan mendapati pasukan ini memiliki rekod kejuaraan di liga domestik.

"Saya lihat mereka ada kombinasi pemain import dan pemain tempatan yang bagus untuk mengecapi peluang kejuaraan di Malaysia," katanya dalam temu bual tersebut baru-baru ini.

Lucas berkata, selepas mengharungi beberapa perlawanan termasuk program pramusim di Thailand, dia dan rakan sepasukan percaya mampu mengharungi musim yang baik.

"Saya mula mencapai keserasian dengan gandingan di barisan hadapan, saya harap dapat ulangi prestasi musim lalu dan sedia bekerja keras untuk mencapainya," katanya.

Untuk rekod, bekas penyerang skuad Penang FC itu meledak 11 gol dalam 15 penampilan bersama Penang musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram