Dedah sebab ikut Nafuzi, Hidalgo mahu balas sokongan 'fans' Sang Kenari


  • Podium
  • Jumaat, 03 Feb 2023

Aksi Hidalgo bersama KDA FC ketika menentang Selangor FC pada aksi separuh akhir Piala Harapan di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang. — Facebook

PEMAIN import baharu Kedah Darul Aman FC (KDA), Manuel Hidalgo mengakui cukup terharu dengan penerimaan penyokong skuad Sang Kenari selepas dia mengesahkan penyertaannya ke kelab Hijau Kuning bagi menghadapi cabaran liga domestik musim 2023.

Bintang muda berusia 23 tahun itu berkata, dia tidak menyangka para penyokong Sang Kenari begitu teruja menyambut kedatangannya ke kelab di utara tanah air tersebut selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Sri Pahang FC.

“Saya terkejut apabila tiba di sini (Kedah) kerana penyokong mereka 'gila'. Ramai yang datang sambut ketibaan saya di lapangan terbang dan setiap perlawanan, venue akan penuh dengan penyokong walaupun ia hanya perlawanan persahabatan.

"Sebagai tanda penghargaan, saya harap dapat dapat membalasnya dengan menghadiahkan sekurang-kurangnya satu piala pada musim ini," kata menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook HarimauMalaya.

321899784_474600348212482_6640142387212506825_n

Hidalgo cukup terharu dengan sambutan yang diberikan oleh para penyokong Kedah. — Facebook

Pada masa sama, Hidalgo mendedahkan keputusannya untuk meninggalkan Sri Pahang FC kerana tertarik dengan projek yang dilakukan oleh ketua jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain.

“Saya suka projek yang akan dilakukan oleh Nafuzi, oleh sebab itu saya ambil keputusan untuk berhijrah. Saya pernah bertemu dengan Nafuzi kira-kira dua tahun lalu dan dia ada mengajak saya untuk bersamanya.

"Saya yakin tahun ini KDA FC akan menjadi antara pasukan yang kuat,” katanya sambil memberitahu, dia juga menggemari corak permainan Nafuzi.

Katanya, corak permainan 'Nafuziball' yang diterapkan oleh Jurulatih Terbaik ABK 2022 itu merupakan corak permainan yang cukup disukainya.

322872630_691685135891828_6073781595520117528_n

Hidalgo dan Willian Lira (kanan) antara dua import di KDA FC musim ini. — Facebook

“Corak permainan yang diterapkan oleh Nafuzi adalah corak permainan yang saya suka iaitu memegang bola lebih lama, menguasai permainan dan melakukan transisi pantas. Pada masa sama, dia juga memberi kebebasan kepada saya apabila di atas padang,” katanya.

Berita perpindahan Hidalgo dari Pahang ke Kedah pada awal Januari lepas mengundang kontroversi kerana tidak dijangka oleh sebahagian penyokong skuad Tok Gajah.

Bagi mendapatkan penyerang sayap itu, KDA FC membuat tawaran dengan membayar pampasan kepada Sri Pahang FC memandangkan Hidalgo masih memiliki kontrak selama setahun dengan skuad Tok Gajah.

Di KDA FC, pemain dari Argentina itu masih menyarungkan jersi bernombor 88 yang dikenakannya di Sri Pahang FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram