Nilai pemain Liga M 'bocor', 3 import baharu jadi tumpuan musim 2023


  • Podium
  • Khamis, 26 Jan 2023

JDT, KDA FC dan Selangor FC antara kelab yang menyumbang kepada peningkatan nilai pasaran Liga M.

SABAN tahun setiap pasukan Liga Malaysia (Liga M) akan membelanjakan wang yang besar untuk mendapatkan pemain import yang bermutu dan berkualiti dalam kelab masing-masing.

Kesanggupan mengeluarkan belanja yang banyak itu pastinya pemilik kelab tersebut menginginkan pulangan lumayan seperti menjadi pasukan teratas liga dan menjulang piala pertandingan.

Memetik laporan dari akhbar Utusan Malaysia, musim ini sahaja kemasukan beberapa pemain import berhasil mengubah nilai pasaran Liga M jika dibandingkan pada 2022.

Dalam laporan itu, Johor Darul Takzim (JDT), Kedah Darul Aman (KDA) FC, Selangor FC dan Kuching City menjadi empat kelab yang menyumbang kepada peningkatan nilai pasaran Liga M.

Menerusi senarai 12 pemain termahal Liga M dalam laporan berkenaan, Majoriti menyenaraikan tiga bintang baharu yang bakal jadi tumpuan pada musim 2023;

1) Oscar Arribas

WhatsApp Image 2023-01-25 at 21.47.44

Nilai Arribas mencecah RM2.33 juta.

Dengan nilai mencecah RM2.33 juta, Arribas menjadi pemain import baharu mahal yang dibawa masuk ke Liga M dan dalam senarai itu dia berada di tangga ketiga.

Selain pemain sayap itu, arkitek tengah baharu JDT, Juan Muniz dan peledak berbisa Liga Super 2022, Bergson da Silva juga masing masing berkongsi nilai yang sama.

Bukan hanya mampu beraksi di bahagian sayap, Arribas juga berkebolehan untuk beraksi sebagai pemain tengah menyerang yang mana akan memberi kelebihan buat JDT.

Pengalamannya ketika beraksi saingan divisyen kedua liga bola sepak Sepanyol bersama AD Alcorcón, pasti menjadi pemain kacukan Sepanyol-Filipina itu menjadi tumpuan penyokong.

Untuk rekod, pemain termahal Liga M menjadi milik pertahanan Harimau Selatan, Jordi Amat dengan nilai RM4.67 juta dan diikuti Fernando Forestieri pada nilai RM3.97 juta.

2) Willian Lira

WhatsApp Image 2023-01-25 at 21.47.45

Lira menjadi satu-satunya pemain Kedah dalam senarai pemain termahal Liga M.

Menjadi satu-satunya pemain skuad Sang Kenari yang tersenarai dalam 12 pemain termahal Liga M, penyerang import, Willian Lira menduduki tempat keenam dengan nilai RM2.1 juta.

Penyerang kelahiran Brazil itu menjadi pertaruhan baharu Kedah untuk mengemudi jentera serangan selepas pemain import lalu, Ronald Ngah Wanja digugurkan dari pasukan.

Sepanjang tiga perlawanan pramusim, pemain berusia 29 tahun itu sudah berhasil memikat hati penyokong Sang Kenari dengan merekodkan empat jaringan buat KDA FC.

Sebelum ini, Lira pernah beraksi di kelab divisyen dua Liga Jepun iaitu Ventforet Kofu dan membantu kelab tersebut memenangi trofi Emperor’s Cup.

Justeru itu, dengan pengalaman yang dimiliki oleh Willian bersama Liga Jepun berkenaan dipercayai mampu menjadi 'mesin pencetak gol' buat KDA FC.

3) Noor Al Rawabdeh

WhatsApp Image 2023-01-25 at 21.47.46

Nilai Rawabdeh mencecah RM1.74 juta.

Tonggak import baharu Selangor FC, Rawabdeh melengkapkan senarai 12 pemain termahal Liga M bersama dengan dua lagi pemain JDT, Corbin Ong dan Matt Davies (RM1.74 juta).

Mendapat jolokan 'The Engineer', Rawabdeh merupakan pemain kebangsaan Jordan dan sehingga kini dia berjaya membuat 27 penampilan.

Pemain berusia 26 tahun itu juga pernah beraksi dalam saingan Piala AFC selama tiga musim bersama Al Jazeera dari tahun 2017, sebelum menjadi tonggak utama Al-Muharraq SC.

Bersama Al-Muharraq, pemain tengah itu berhasil membantu pasukannya menjuarai Piala AFC 2021.

Selangor FC yang menyasarkan untuk ke Piala AFC pada musim ini pasti memerlukan jentera tengah pasukan berkualiti seperti Rawabdeh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram