MUSIM 2022 bukanlah satu perjalanan yang mahu diingati penyokong skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) lantaran kelab itu mengalami prestasi tidak menentu.
Naib juara Liga Super 2021 yang pernah menjulang kejayaan double treble itu hanya mampu berpuas hati di dalam kelompok lima tercorot carta liga musim lepas.
Import Hijau Kuning pada musim lepas, antaranya Ronald Ngah Wanja tidak berjaya membawa Kedah ke tahap lebih baik meskipun dia merupakan antara keyplayer pasukan KDA FC dalam saingan Liga Super dan Piala AFC 2022.
Kalau dilihat kepada statistik, Ronald Ngah yang terkenal dengan panggilan 'Pak Ngah' tidaklah begitu menghampakan. Pemain dari Cameroon itu mencetak keseluruhan 22 gol dan tujuh bantuan gol menerusi 57 penampilan sepanjang musim lepas.
Begitupun, Ronald Ngah seolah-olah tidak laku di pasaran Liga Malaysia (Liga M) memandangkan tiada kelab mahu menyambar khidmatnya ketika jendela perpindahan dibuka bagi saingan musim 2023.
Tetapi dalam satu posting terbaharu di media sosial, pemain itu dilihat mengenakan jersi Terengganu FC (TFC) ketika menjalani satu sesi latihan di sebuah gimnasium.
Ronald Ngah dilihat mengenakan jersi TFC.
Ia kemudian memberi bayangan kepada peminat bola sepak tanah air mengenai kemungkinan penyerang import itu akan kekal beraksi di Liga M musim ini bersama skuad Sang Penyu.
TFC bagaimanapun sudah melengkapkan kuota pemain import dengan menandatangani kontrak dengan dua pemain dari Croatia iaitu Domigoj Pusic, 32, dan Ivan Mamut, 26.
Pengurusan kelab Hitam Putih itu sebelum ini turut menandatangani kontrak dengan tiga lagi pemain import iaitu Sardor Kulmatov, Sony Norde, Adisak Kraisorn selain mengekalkan Habib Haroon.
Untuk rekod, KDA FC sebelum ini melamar Ronald Ngah atas kapasitinya sebagai penjaring terbanyak Liga Pro Jordan 2021 dengan rekod 15 gol semusim.
Selepas beraksi dalam Liga M, penyokong Hijau Kuning menganggap tag harga Ronald Ngah yang mencecah RM 1.7 juta bukan satu pembelian berbaloi dengan persembahan hambarnya sepanjang musim lalu.
Berdasarkan transfermarkt.com, pemain berusia 31 tahun itu masih berstatus free agent dan belum menyertai mana-mana pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram