Tiada 'wow factor', lambakan pemain muda gagal tambat penyokong Perak FC ke stadium?


  • Podium
  • Selasa, 24 Jan 2023

Skuad Perak FC pada musim ini dibarisi ramai pemain muda. — Facebook / Perak Football Club

SELEPAS memperkenalkan pemain muda, Hadi Fayyadh Abdul Razak sebagai penyerang pasukan Perak FC, skuad The Bos Gaurus menghitung hari untuk menghadapi pertemuan dengan KL City FC dalam aksi pramusim Liga Malaysia 2023.

Aksi yang dijadualkan berlangsung pada 4 Februari itu bakal diadakan di Stadium Cheras, Kuala Lumpur dan tentu sekali peminat setia kedua-dua pasukan tidak sabar untuk menyaksikan kemampuan pasukan masing-masing.

Bertandang ke kandang The City Boys, pemain Perak FC pastinya mengharapkan kehadiran penyokong ke stadium untuk memberikan sokongan.

Namun ada kebimbangan disuarakan segelintir penyokong tegar yang khuatir perlawanan persahabatan itu kurang mendapat sambutan kerana perlawanan di tempat sendiri pun masih tidak berjaya mengundang fans ke stadium.

Ada cakap-cakap dalam kalangan penyokong sendiri yang mengatakan selain tiada training ground, pembelian terlalu ramai pemain muda antara faktor gagal memikat penyokong ke stadium.

Bukan tidak mempercayai proses transformasi yang mahu diterapkan oleh pengendali Perak FC, Lim Teong Kim, namun mereka ragu-ragu tentang kewibawaan pemain muda apabila berdepan lawan yang lebih kuat dan berpengalaman.

321019779_468259595512741_7917219686768528091_n

Hadi Fayyadh diperkenal sebagai penyerang Perak FC.

Meskipun dilihat sebagai prospek masa depan, taktikal menurunkan sebahagian besar muka baharu dalam perlawanan liga tertinggi bola sepak dibimbangi akan membuatkan pemain-pemain muda itu menjadi mangsa belasahan bintang kelab gergasi.

Mereka dikhuatiri gugup dan gementar apabila berdepan nama-nama pemain lawan yang digeruni di atas padang. Jadi sekurang-kurangnya dengan adanya beberapa pemain senior dilhat dapat mengimbangi pasukan.

Selain itu, melihat bintang import kelab lain mula menjadi buah mulut kerana ketajaman atas padang, ada yang berasakan kehadiran seorang dua awang import yang berkualiti dapat menarik penyokong untuk hadir ke stadium.

Begitupun, ramai lagi penyokong lain yang percaya ketiadaan pemain berstatus bintang di Perak FC bukan penghalang bagi kelab itu menempa nama di divisyen teratas bola sepak tempatan.

Ia dirasakan satu permulaan yang baik buat skuad Seladang untuk kembali bernyawa dalam kancah saingan domestik selepas dihimpit masalah kewangan pada musim lepas.

Apapun penyokong Perak FC tetap optimis dan meletakkan keyakinan kepada Teong Kim serta pengurusan bagi menjulang kembali nama Perak FC. Seperti yang selalu menjadi pegangan penyokong Perak musim ini, '#trusttheprocess #nostarnohal'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram