BARU-BARU ini kecoh di media sosial selepas jersi pramusim Terengganu FC (TFC) dikatakan meniru rekaan jersi terburuk AC Milan musim 2022.
Posting asal dikongsikan laman Twitter Footy Headlines dengan tajuk 'Malaysian Club Copy AC Milan's Worst Ever Kit'.
Sekali pandang jersi tersebut kelihatan sama, namun terdapat sedikit perbezaan pada rekaan leher dan lengan baju berkenaan yang mana kolar jersi TFC adalah round-neck manakala jersi ACMilan itu berbentuk V-neck.
Perbezaan juga dapat dilihat pada susunan jalur yang mana jalur jersi pramusim TFC lebih lebar berbanding jersi AC Milan musim 2022 itu.
Di sebalik kritikan terhadap rekaan yang dianggap hanya mencedok atau mengitar semula design lama, para penyokong FC nampaknya tidak melatah.
Ini kerana ramai menganggap penilaian perlu diberikan terhadap persembahan pasukan berbanding isu remeh seperti rekaan jersi.
Malah rata-rata berpendapat itu merupakan strategi pemasaran untuk menarik penaja dari luar.
"TFC mendonia, bagus untuk tarik tajaan pihak luar nanti," tulis Iqie Muhammad di laman Penyokong Terengganu FC.
Syed Abdullah Fahmi pula meninggalkan komen, "Bola sepak itu satu perniagaan. Duit tajaan dapat lebih okey lah kan."
Isu itu juga dirasakan tidak perlu diperbahaskan secara keterlaluan kerana jersi tersebut hanya jersi pramusim.
"Ini mungkin ambil inspirasi saja. Ni bukan copy, kalau copy, satu-satu sama," komen Syukri Pok.
Skuad Sang Penyu turun beraksi dengan jersi tersebut dalam perlawanan persahabatan menentang Kelantan United FC (KUFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Sabtu lepas.
Menerusi perlawanan pramusim itu, TFC berjaya memperoleh kemenangan 2-1 ke atas skuad Kijang Hijau melalui gol daripada import Croatia, Ivan Mamut dan Domigoj Pusic.
Anak-anak buah Tomislav Steinbruckner akan menerima kunjungan skuad KUFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu pada Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram