'Tinggi-tinggi sayuk', TFC kini dilabel lubuk penjaga gol terbaik negara


  • Podium
  • Khamis, 19 Jan 2023

Rahadiazli yang juga produk TFC merupakan antara penjaga gol terbaik negara. — Facebook/TFC

SELAIN mempersiapkan pasukan bagi saingan Liga Super musim 2023, setiap kelab yang bertanding juga perlu menyediakan skuad Liga Simpanan (Reserve League) pada tahun ini.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada musim ini memperkenalkan Liga Simpanan yang dikhususkan kepada pemain-pemain muda berusia Bawah 23 tahun.

Format bagi liga tersebut ialah setiap pasukan wajib membariskan lapan pemain tempatan berusia 23 tahun daripada 11 pemain yang berada di atas padang pada sesuatu perlawanan.

MFL juga menyatakan bahawa hanya tiga pemain senior dibenarkan berada dalam kesebelasan utama termasuk dua pemain import bagi kelab yang bertanding untuk liga berkenaan.

Perlaksanaan liga itu disambut baik oleh setiap pasukan dan kebanyakkan kelab sudah mulai memperkenalkan pemain mereka termasuklah Terengganu FC (TFC).

Dalam satu perkongsian dari laman Facebook, MalayanTiger Fans mengatakan bahawa pihak pengurusan Terengganu sudah berjaya mengikat penjaga gol muda, Aizat Aiman bagi saingan Liga Simpanan.

WhatsApp Image 2023-01-19 at 15.54.19

Aizat Aiman akan menyarung jersi TFC pada musim ini. — Facebook

Pemain berusia 19 tahun itu sebelum ini beraksi untuk pasukan Liga Perdana Skuad Projek FAM-MSN, selain bertanggungjawab untuk menjaga gawang skuad kebangsaan bawah-20 tahun (B-20).

Penjaga gol berketinggian 1.94 meter itu dijangka akan menjadi prospek tanah air untuk menjaga gawang Harimau Malaya suatu hari nanti.

Disebabkan ketinggiannya yang ideal untuk seorang penjaga gol membuatkan penyokong memuji pasukan Terengganu kerana bijak dalam mencari pemain muda.

Jika dilihat penjaga gol utama Terengganu iaitu Rahadiazli Rahalim juga mempunyai ketinggian ideal iaitu 1.92 meter.

"Rahadi 192 cm, Aizat 194cm, keeper skuad belia 200 cm fuhh. Kilang keeper TFC. Aizat ini pun tak asing dalam TFC sebab pernah bersama TFC 4 sebelum dilamar FAM-MSN," kata penyokong TFC, Fadhullah Jamil Mohd Isa.

"Rahadi Radzi 192 cm. Seorang budak itu 200 cm. Ini 194 cm. Terengganu memang bagus scouting keeper tinggi-tinggi harap boleh asah bakat-bakat ini untuk masa depan negara," komen seorang lagi penyokong, Hayati Abdul.

"Minat betul Terengganu dengan keeper tinggi-tinggi ye," tulis penyokong skuad Penyu, Johan Arif.

"Tinggi-tinggi sayuk keeper TFC," tambah penyokong TFC, Putri Amina.

Aizat bukan nama yang asing di bumi Terengganu berikutan dia pernah menganggotai pasukan Piala Belia TFC sebelum berhijrah ke Skuad Projek FAM-MSN pada 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram