Teman sekampung Badd dipelawa bersara di Kedah berbanding di Pantai Timur


  • Podium
  • Jumaat, 20 Jan 2023

Baddrol dan Khairul Helmi antara pemain yang ditunggu-tunggu untuk kembali ke Kedah. — Agensi

PERLAWANAN persahabatan bagi aksi pramusim Kedah Darul Aman (KDA) FC masih diteruskan dan kali ini skuad Kenari menjemput pasukan Kelantan FC untuk bertandang ke Stadium Darul Aman pada Jumaat ini.

Sebelum ini, skuad di bawah kendalian Nafuzi Zain itu sudah membuat perlawanan pertama menentang Perlis United bagi menguji keserasian para pemainnya.

Dalam pertembungan berkenaan, skuad Sang Kenari mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas pasukan Perlis di Stadium Mini Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Bagi aksi menentang skuad The Red Warriors (TRW) malam ini, penyokong Sang Kenari sudah mulai membayangkan perlawanan akan lebih menarik terutamanya apabila bekas kapten pasukan Kedah kembali ke stadium keramat mereka.

khairul helmi

Khairul Helmi kini antara 'tanker' terbaik skuad TRW. — Agensi

Pemain tersebut ialah Khairul Helmi Johari iaitu antara tonggak Kedah yang meraih gelaran 'double trouble' pada 2007 dan 2008 di bawah kendalian Azraai Khor Abdullah bersama rakan sekampungnya, Baddrol Baktiar.

Pemain berusia 35 tahun itu pernah berkongsi hubungan rapatnya dengan tonggak Sabah, Baddrol sejak dari kecil dan kedua-duanya kini menjadi antara pemain kegemaran penyokong KDA FC.

"Dari kecil lagi saya dah kenal Bad (Baddrol). Bapa kami merupakan askar, kami duduk satu taman. Rumah kami dekat saja dalam 200 meter," kongsinya dalam satu temu bual.

Selepas menabur bakti selama 13 tahun bersama Kedah, tonggak kelahiran Sungai Petani itu membuat keputusan untuk berhijrah ke pasukan Melaka United yang kini dikenali sebagai Melaka FC pada musim 2020.

main pic

Khairul Helmi dan Baddrol juga menjulang Kedah menjuarai Piala FA 2017. — Agensi

Kemudiannya, dia memilih untuk menyarung jersi pasukan Kelantan pada musim 2021, sekali gus membantu memperkukuhkan lagi benteng pertahanan skuad TRW.

Kehadiran pemain itu ke Kedah membuatkan penyokong mulai membayangkan agar Khairul Helmi beraksi semula bersama Kedah dan ada yang mencadangkan agar dia bersara di Darul Aman berbanding di Kelantan.

"Tidak mahu pencen lagi ke? Patut pencen di Kedah dia ini," komen penyokong skuad Sang Kenari, Saiful Hafiz.

"Selamat datang kembali legenda, jumpa di Darul Aman," kata seorang lagi penyokong, Faizal Khasni.

Keinginan untuk melihat kembali Khairul Helmi beraksi bersama KDA FC menjadi dia antara pemain legenda yang dirindui penyokong selain Baddrol dan Rizal Ghazali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram