SELEPAS kekurangan bekalan telur, satu lagi isu yang menjadi rungutan dalam kalangan rakyat ialah berkaitan dengan kesukaran mendapatkan minyak paket terutamanya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Barangan asas itu yang sepatutnya membantu nampaknya gagal memberi manfaat yang sebaiknya kepada rakyat.
Seorang warganet, Azli Sulaiman berkata, minyak paket yang ada selalunya dibekalkan secara terhad di kedai runcit hingga menyebabkan bekalan itu cepat habis.
"Bekalan memang terhad, jadi memang kena cepat kalau nak beli. Harap bekalan minyak paket ini ditambah lagi untuk memudahkan rakyat," katanya.
Seorang lagi warganet, Rabiatul Lai berkata, dia berasakan kekurangan bekalan ini perlukan kawalan dan pantauan daripada pihak berkuasa.
"Tengok berita ada banyak minyak masak yang dirampas sebab kena sorok dengan individu tak bertanggungjawab. Pantauan berterusan kena ada," katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi warganet, Sim Chan berkata, pekedai juga perlu memastikan minyak paket dijual kepada individu yang sepatutnya.
"Pekedai yang limitkan minyak paket seorang dapat berapa itu dah ok. Tapi janganlah ada yang simpan kepada mereka yang dah booking siap-siap.
"Seeloknya berilah kepada siapa yang cepat dan pastikan yang beli itu hanya ketua keluarga sahaja. Tak campur dengan anak-beranak mereka," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram