Misteri kapal hilang: Ibu selalu menangis, kali terakhir dengar suara anak awal bulan ini


  • Massa
  • Khamis, 19 Jan 2023

Salah seorang ibu kepada mangsa yang mendoakan agar anaknya kembali dengan selamat. — The Star

IBU kepada anak kapal kargo MV Dai Cat 06 yang hilang mendoakan keselamatan anaknya ketika misteri kehilangan kapal itu masih belum terjawab.

Ratna Abu, 53, berkata, dia tidak dapat menahan kerisauannya dan berharap anak bongsunya, Mohammad Sudeh Sudin, 20, selamat pulang ke rumah.

Ratna memberitahu perkara itu kepada Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong yang mengadakan lawatan ke rumahnya di Sandakan.

"Sangat menyayat hati melihat ibu Sudeh menangis dan risau tentang anaknya," kata Wong.

Ibu Sudeh berkata, tiada berita dilaporkan berhubung status anaknya sejak kes kehilangan kapal kargo itu berlaku.

Wong berkata, kesihatan ibu Sudeh juga berada dalam keadaan lemah kerana sentiasa bimbang tentang nasib anaknya.

"Mereka tidak tahu apa yang telah berlaku kepada anak mereka dan rakan-rakannya yang lain," kata Wong.

Ahli keluarga Sudeh memberitahu Wong bahawa kali terakhir Sudeh menghubungi mereka adalah pada awal tahun ini.

Tambah Wong, Kerajaan Persekutuan dijangka membincangkan isu kehilangan kapal kargo itu.

“Kami mendoakan agar misi mencari dan menyelamat dapat dijalankan dengan sebaik mungkin dan semua anak kapal ditemui dalam keadaan selamat serta ahli keluarga terus tabah dan cekal menghadapi situasi itu,” tambahnya.

Awal minggu ini, ahli keluarga seorang lagi anak kapal, Derrent Littor, 22, dari Kota Kinabalu, Sabah menyeru pihak berkuasa agar tidak berputus asa mencari kapal yang hilang itu dan lima anak kapalnya yang terdiri daripada dua warga Indonesia dan tiga warga Malaysia.

Menurut keluarga mangsa, kali terakhir mereka bercakap dengan Derrent adalah pada 1 Januari dan dia difahamkan berada di perairan Singapura.

Kapten kapal itu dikenali sebagai Adi, 43, dan ketua juruteranya Damai Papane Ole, kedua-duanya warga Indonesia manakala ketua operasi kapal itu, Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24 adalah warga Malaysia.

Pada Rabu bersamaan 18 Januari lalu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som memberitahu bahawa mereka akan merakam kenyataan daripada pemilik dan ahli keluarga anak kapal kapal kargo yang hilang itu dalam siasatan mereka.

Beliau berkata, siasatan itu diperlukan bagi mendapatkan jawapan kepada beberapa persoalan mengenai kehilangan kapal itu. Mereka juga ingin memastikan sama ada piawaian keselamatan kapal dan kebajikan anak kapal turut dijaga.

Laksamana Mohd Zubil juga berkata, mereka mahu menyiasat mengapa kapal itu dilaporkan hilang hanya pada 9 Januari sedangkan ia sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember.

Kapal itu membawa muatan batang paip bernilai RM726,205 dan hilang di perairan Indonesia.

Dalam pada itu, Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) membatalkan pencarian pada 14 Januari selepas tiada petunjuk baharu ditemui. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram