Debut memukau bersama Ratchaburi FC, Safawi Rasid jadi idola anak pasangan artis popular


  • Podium
  • Khamis, 19 Jan 2023

Antara aksi debut Safawi Rasid bersama Ratchaburi FC. — Instagram/Safawi

KAPTEN Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid membuat penampilan sulungnya bersama pasukan Liga Thailand, (Thai League 1), Ratchaburi FC di Stadium Dragon Solar Park, Ratchaburi, Thailand pada Rabu.

Dalam perlawanan persahabatan itu, skuad The Dragon berjaya melakar kemenangan besar 5-1 menumpaskan DP Kanchanaburi FC menerusi jaringan dari Sage Nuyadzi, Chakophan, Anon Amonletsak dan dua gol dari pemain pinjaman Johor Darul Takzim (JDT), Moussa Sidibe.

Malah, debut Safawi bersama kelab Thailand itu mendapat perhatian penyokong bola sepak tanah air yang memasang impian supaya pemain sayap kebangsaan itu kembali mendapat sentuhannya seperti dahulu.

Selepas gagal mendapat minit permainan yang banyak bersama JDT, pemain kelahiran Terengganu itu menyertai kelab Ratchaburi FC secara pinjaman daripada skuad Harimau Selatan selama semusim.

Menjengah di ruangan komen, ramai penyokong termasuk peminat dari negara Gajah Perang memberi kata-kata pujian kepada Safawi Rasid selepas perlawanan pertamanya itu.

"Pemain baharu itu, menjaringkan gol untuk semua," komen penyokong Ratchaburi, Phummarin Udomsin.

"Jika pemain baharu itu bermain dengan baik, saya setuju untuk simpannya sehingga tahun depan," tambah seorang lagi peminat The Dragon.

"Sembilu yang dulu biarlah berlalu," tulis penyokong bola sepak tanah air, V.

WhatsApp Image 2023-01-19 at 10.03.00

Tangkap layar hantaran story dari pasangan selebriti berkenaan. — Instagram/Safawi

Selain itu, debut cemerlang dari Safawi Rasid bersama kelab Thailand itu juga mendapat perhatian daripada pasangan selebriti popular iaitu Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin.

Dalam satu hantaran di Insta Story, pasangan selebriti berkenaan memuat naik gambar anak mereka, Syeriv Samhiezy memakai jersi Argentina.

"Pawi dia nak jadi hang (kau) pula," tulis kapsyen hantaran itu yang bermaksud anak buah bekas tonggak Terengganu FC itu ingin mengikut jejak langkah Safawi.

Untuk rekod, Safawi sebelum ini melangsungkan perkahwinan dengan adik Syatilla iaitu Syifa Melvin pada penghujung November tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram