Ada sebab, fans Hijau Kuning mahu balas budi ketika aksi bertemu TRW


  • Podium
  • Ahad, 15 Jan 2023

Skuad Sang Kenari akan bertembung Kelantan FC pada Jumaat depan. — KDA FC

KREDIBILITI kemampuan secara total skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan terus diuji dalam aksi pramusim 2023, apabila Kelantan FC menjadi pasukan lawan seterusnya pada Jumaat depan (20 Januari).

KDA FC menerusi satu pengumuman memaklumkan, perlawanan persahabatan itu merupakan aksi pramusim kedua buat Sang Kenari, selepas menewaskan Perlis United FC (PUFC) 4-0 di Stadium Mini Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah pada Jumaat.

"Perlawanan seterusnya pra musim 2023. KDA FC menentang TRW Kelantan FC di Stadium Darul Aman," menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, perlawanan menentang Kelantan FC atau The Red Warriors (TRW) akan diadakan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

"Harga tiket bernilai RM10 untuk Teres & Pavillion manakala RM15 bagi Grandstand. Kanak-Kanak dijual pada harga RM5," katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata penyokong Hijau Kuning bersungguh-sungguh mahu memenuhi stadium bagi menyaksikan perlawanan itu secara langsung bagi memberi sokongan penuh terhadap pasukan tersebut.

Alasan mereka tidak lagi antara lain disebabkan pengurusan Kedah sudah melakukan terbaik untuk pasukan itu, dengan melakukan pelaburan sepanjang jendela perpindahan kali ini.

Mohammad SA berkata: "Sekarang masa kita sebagai fan pula support team kita. Macam mana team nak jana duit kalau duk tengok live cemey ja."

Tambah Mohamad Sobri Rahman: "Kasi penuh stadium.Pengurusan dah buat reja (kerja).Giliaq (giliran) penyokong pula buat reja.Jangan banyak bunyi dalam Facebook ja."

Tulis Idris Ahmad: "Akan hadir sebagai tanda penghargaan kepada pengurusan KDA FC yang bertungkus lumus untuk siapkan pasukan terbaik tahun ini." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram