Rekod buruk bersama KL City bikin fans TFC tertanya-tanya kenapa kekalkan Jordan Mintah


  • Podium
  • Ahad, 15 Jan 2023

Pihak pengurusan TFC membuat keputusan mengekalkan Mintah sehingga penghujung musim ini. — Facebook/TFC

STATUS mengenai penyerang import Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah akhirnya terjawab selepas pihak pengurusan skuad Penyu mengesahkan bahawa dia kekal sehingga musim ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFCSB), Ab Rasid Jusoh, yang mengesahkan bahawa Mintah dan dua lagi pemain iaitu Luke Woodland serta Argzim Redzovic masih memiliki kontrak setahun dengan TFC.

Cuma, status Mintah bersama Terengganu pada musim ini menjadi persoalan penyokong kerana pada 2022 dia jarang beraksi bersama kelab tersebut kerana menyertai Kuala Lumpur (KL) City FC secara pinjaman musim ini.

WhatsApp Image 2023-01-15 at 13.17.27

Mintah menyertai skuad Warga Kota pada jendela perpindahan kedua musim lepas. — Facebook/KLCity

Perpindahan pemain kelahiran Ghana itu ke skuad Warga Kota ketika jendela perpindahan kedua Jun lalu dibuat selepas Mintah hanya diturunkan sebagai tonggak TFC II di saingan Liga Perdana.

Namun begitu, selepas melihat wajah Mintah bersama TFC sewaktu sesi latihan pramusim, terdapat beberapa penyokong mulai menimbulkan persoalan sama ada pemain itu wajar untuk dikekalkan musim depan.

Hal ini demikian kerana, ada di antaranya berpendapat jika Mintah beraksi cemerlang bersama skuad Warga Kota, pasti KL City serius untuk berebut mengekalkan khidmatnya seperti pemain pinjaman lain.

Contohnya seperti tonggak sayap Terengganu, Nik Sharif Hassefy yang berjaya ditetapkan oleh pihak pengurusan TFC selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang bergelar pemain pinjaman dari Selangor.

WhatsApp Image 2023-01-15 at 13.14.27

Mintah bersama Nik Sharif sewaktu sesi latihan pramusim TFC. — Facebook/TFC

Berbalik kepada rekod Mintah bersama skuad di bawah kendalian Bojan Hodak, Mintah yang berstatus penyerang hanya berjaya mencatat empat gol buat skuad Warga Kota sepanjang menjadi pemain pinjaman.

Malah, dalam perlawanan penting seperti aksi akhir menentang Al-Seeb bagi Piala AFC, Mintah gagal untuk memikat hati Bojan bagi meletakkannya dalam senarai utama skuad.

Justeru itu, dengan rekod yang kurang memberangsangkan ada segelintir penyokong mula ragu-ragu untuk melihat aksi Mintah pada saingan musim ini.

"Cari import lainlah membazir saja mamat ini. Cari yang muda-muda macam Habib Haroon," komen penyokong TFC, Wan Fazhie Wan Aziz.

"Dengan KL pun dia tak menjadi," tegas seorang lagi penyokong, Syed Lan.

Namun begitu, di bawah bimbingan pengendali baharu, Tomislav Steinbruckner, Mintah mungkin akan kembali menyinar, sama seperti musim 2021 apabila dia memperolehi gelaran penjaring terbanyak Liga Perdana tahun itu.

Untuk rekod bagi musim 2021, Mintah mencuri perhatian ramai selepas memenangi gelaran penjaring terbanyak Liga Perdana apabila menjaringkan 16 gol daripada 15 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram