Syafiq tenangkan spekulasi balik ke Kedah


  • Podium
  • Isnin, 09 Jan 2023

Syafiq Ahmad menjawab spekulasi kembali ke Kedah.

SEJAK gambar Syafiq Ahmad bersama pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tersebar di media sosial, pelbagai spekulasi hangat diperkatakan tentang kemungkinan penyerang Johor Darul Takzim (JDT) itu bakal kembali menyarung jersi Hijau Kuning.

Perkara itu ditambah lagi dengan gambarnya yang dimuat naik di Instagram yang menunjukkan Syafiq menaiki sebuah vespa berlatar belakangkan suasana kampung di Kedah.

Syafiq dipinjamkan ke Darul Aman pada awal musim lalu sebelum dipanggil pulang ke selatan tanah air dipercayai ekoran perbalahan antara pemilik JDT dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sepanjang sembilan perlawanan beraksi bersama Kedah, pemain berusia 27 tahun menyumbang dua gol dan empat assist ketika bergandingan dengan penyerang Kedah, Ronald Ngah Wanja yang kini dilepaskan Sang Kenari selepas tamat kontrak.

Prestasi baiknya bersama Kedah membuahkan hasil apabila Syafiq kerap diturunkan dalam skuad utama JDT sekembalinya dia ke pangkuan Harimau Selatan.

Dalam perlawanan bersama JDT untuk baki saingan Liga Malaysia (Liga M), Syafiq menyumbat empat gol termasuk dua gol ketika menentang Kedah dan menyumbang dua bantuan gol.

Dengan usianya yang berada di kemuncak prestasi, kepulangan Syafiq sekali lagi ke Kedah pastinya amat dialu-alukan oleh penyokong Hijau Kuning.

Tambahan lagi, dengan lambakan penyerang JDT pastinya memberi kesukaran untuk Syafiq menembus kesebelasan utama pada saingan Liga M 2023.

Malah, Kedah ketika ini dilihat hanya mempunyai dua pemain di posisi penyerang iaitu Mohd Aiman Afif dan Willian Lira.

Kemasukan Syafiq ke senarai jentera serangannya pastinya memberi pilihan lebih baik buat ketua jurulatih baharu, Nafuzi Zain memandangkan saingan Liga Super 2023 menyaksikan pertambahan pasukan dan perlu mengharungi tempoh liga yang panjang.

Namun mengulas tentang spekulasi kemungkinan Syafiq kembali berbakti di Kedah berdasarkan gambar yang tersebar, pemain kelahiran Pulau Pinang itu memberi jawapan ringkas.

"Balik kampung cuti," katanya kepada Majoriti.

Selain posting Syafiq bercuti di kampung hangat diperkatakan, penyokong Hijau Kuning juga teruja dengan video yang menunjukkan pemain berkaki kidal itu bermain sepak takraw, berperanan sebagai feeder.

KDA FC difahamkan akan mengumumkan seorang lagi pemain baharu dalam masa terdekat dan dipercayai merupakan pemain penyerang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram