Bersinar penghujung kempen Piala AFF, 'fans' TFC makin tak sabar lihat Adisak sarung jersi Hitam Putih


  • Podium
  • Sabtu, 14 Jan 2023

Dua gol berjaya dijaringkan Adisak dalam tujuh penampilan Piala AFF setakat ini. — Agensi

KEGAGALAN Terengganu FC untuk mengekalkan ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk kempen Liga Super 2023 memaksa pasukan itu untuk melakukan rombakan secara besar-besaran.

Ini bagi membolehkan pengendali baharu, Tomislav Steinbruckner merancang pasukannya berdasarkan acuan tersendiri, baik dari segi pemain dan taktikal.

Perkara tersebut termasuk keputusan barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan yang tidak menyambung kontrak kapten pasukan, Tchetche Kipre yang sememangnya penting buat skuad musim lepas.

Dalam 14 penampilan Liga Super 2022, pemain kelahiran Ivory Coast itu berjaya menjaringkan 13 gol peribadi dalam usaha membantu Terengganu FC menduduki tangga kedua.

Oleh itu, dalam usaha memastikan jentera serangan Sang Penyu tidak tumpul, penyerang Thailand, Adisak Kraisorn dibawa masuk dengan reputasi dan kebolehan tersendiri.

Setelah khidmatnya tidak lagi didambakan Muangthong United, pemain berusia 31 tahun itu dilepaskan selepas tempoh pinjamannya tamat bersama sebuah lagi kelab Thailand, Port FC.

Namun, ia tidak menghalang Terengganu FC untuk menyambar khidmatnya dengan segelintir pihak berpendapat kelebihan dari segi fizikal dan pengalamannya cukup berharga.

Malah, ketika ini, Adisak masih terus membuktikan sentuhannya di hadapan pintu gol lawan apabila membantu skuad Gajah Perang dalam kempen Piala AFF 2022.

320918394_558187689149341_8886825945728565957_n

Adisak disahkan sebagai penyerang baharu untuk Terengganu musim depan. Facebook/Terengganu FC

Dalam tujuh penampilan setakat ini, penyerang tersebut berjaya memperolehi dua gol peribadi, termasuk jaringan ketika berdepan skuad Harimau Malaya di tempat sendiri.

Prestasi itu sepertinya mengundang pujian daripada penyokong yang sudah tidak sabar-sabar untuk melihat kelibatnya dalam jersi Terengganu FC untuk tahun akan datang.

"Bagus dia (Adisak) ni kerana dia bukanlah seorang penyerang yang hanya menunggu bola di hadapan pintu gol. Kerap saya nampak dia turun untuk bantu rakan sepasukan," kata Faris Ahmad.

"Suka saya tengok Adisak Kraisorn bermain bersama pasukan kebangsaannya. Laju dan cukup bertenaga, tak sabar nak tengok dia main bersama Terengganu nanti," kata Farid Fauzi.

Adisak dilihat akan terus menjadi tulang belakang buat pasukan negaranya yang akan berdepan Vietnam dalam aksi kedua final Piala AFF di Stadium Thammasat, Thailand pada 16 Januari.

Dalam perlawanan pertama peringkat akhir, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2, namun kelebihan berpihak kepada skuad Gajah Perang dari segi jaringan tempat lawan.

Bagi Terengganu FC pula, mereka dijadualkan akan menjalankan sesi pra-musim dengan pertemuan bersama Kelantan United FC sebelum berdepan Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi Piala Sumbangsih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram