LIGA Malaysia (Liga M) musim ini akan bermula sekitar Februari yang menyaksikan kelab-kelab tempatan memburu para pemain berkualiti bagi mempersiapkan pasukan menghadapi saingan merebut kejuaraan domestik.
Kuoata import pemain Asean antara yang dimanfaatkan oleh kelab Liga M untuk membawa masuk pemain bintang dari Asia Tenggara bagi memperkukuhkan pasukan.
Bagi musim ini, antara pemain serantau yang mewarnai Liga M termasuklah Jordi Amat, naturalisasi Indonesia yang beraksi di Johor Darul Takzim, Saddil Ramdani (Sabah FC) dan Adisak Kraisorn, bintang Thailand yang baru ditandatangani Terengganu FC.
Sasalak dipilih sebagai Most Active Player dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF 2022. — Facebook
Berikutan kejayaan skuad Thailand menempah tiket sebagai finalis ke peringkat akhir Piala AFF 2022, ramai penyokong bola sepak tempatan mahu bintang-bintang berkualiti skuad Gajah Perang dibawa masuk ke Liga M musim ini.
Selain Adisak, seorang lagi pemain Thailand, Sasalak Haiprakhon mencuri tumpuan penyokong bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang menyifatkan dia sesuai diletakkan di benteng pertahanan Sang Kenari.
Pemain Buriram United itu dirasakan boleh menjadi tonggak di bek kiri pasukan Hijau Kuning yang menjadi duri dalam daging pasukan itu sejak enam musim lepas.
Tugas itu sebenarnya sudah diberikan kepada pemain muda, Azrin Afiq Rusimi, namun pemain berusia 20 tahun itu hanya sekadar pinjaman dari Selangor FC untuk tempoh setahun.
Justeru, tidak salahnya rasanya jika Sasalak boleh mula 'diteropong' pasukan Hijau Kuning untuk perpindahan jendela kedua Liga M memandangkan kontraknya bersama Buriram United akan tamat pada Mei 2023.
Aksi Sasalak ketika pertembungan Malaysia - Thailand dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022. — Facebook
Pernah melaungkan cabaran untuk 'mengunci' pergerakan tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid dalam pertemuan Malaysia-Thailand di separuh akhir Piala AFF, Sasalak pastinya mampu menambah kekebalan benteng Hijau Kuning.
Pengalaman luas beraksi di peringkat antarabangsa juga tentunya memberi kelebihan kepada Sasalak jika mahu dibandingkan dengan pemain-pemain muda sedia ada di posisi sama.
Malah, Sasalak pasti digeruni lawan dan mampu memberikan saingan kepada kelab lebih hebat antaranya JDT dalam misi memburu kejuaraan domestik yang sudah beberapa tahun gagal diraih KDA FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram