[VIDEO] Gara-gara tidak tegakkan kerusi, penumpang saling bertumbuk dalam pesawat


  • Benua
  • Jumaat, 30 Dis 2022

Tangkap layar pergaduhan membabitkan beberapa penumpang dalam pesawat Thai Smile Airways.

KECOH sebuah pesawat syarikat penerbangan Thai Smile Airways apabila beberapa penumpang dilaporkan bergaduh dan bertumbuk sesama sendiri ketika dalam penerbangan dari Bangkok ke Kolkata, India baru-baru ini.

Ketika kejadian, dua orang lelaki terlebih dahulu dilihat saling menjerit dan memaki satu sama lain sebelum salah seorang daripadanya bertindak kasar.

Situasi bertambah serius apabila beberapa lagi individu lain turut serta dalam pergaduhan tersebut dan memukul seorang lelaki berkemeja hitam.

Insiden terbabit difahamkan berlaku selepas salah seorang daripada penumpang pesawat itu enggan mematuhi arahan pramugari yang meminta agar penumpang duduk di tempat masing-masing sebelum pesawat mula berlepas.

Namun, arahan itu gagal dituruti si pelaku yang terus membelakangkan kerusi dengan alasan mengalami sakit belakang.

Situasi itu nyata mengundang kemarahan penumpang lain di belakang dan sekali gus mengakibatkan pergaduhan tersebut berlaku.

Meskipun kru kabin telah beberapa kali meminta pelaku untuk patuh kepada arahan diberikan, suspek terus bertindak kasar dan meninggikan suara sebelum mencetuskan kekecohan dengan beberapa penumpang lain.

Biro Keselamatan Penerbangan Awam (BCAS), sebuah badan yang memantau keselamatan penerbangan sedia maklum tentang isu tersebut.

"BCAS telah mendapatkan laporan terperinci daripada pihak berkuasa berhubung kejadian itu.

"Kami telah menerima laporan berkenaan video tular pergaduhan penumpang dalam penerbangan Thai Airways ke Kolkata," kata Ketua Pengarah, BCAS, Zulfiquar Hasan.

Namun, tiada laporan lanjut mengenai tangkapan individu terlibat dan pihak syarikat penerbangan juga difahamkan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan setakat ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram