BEKAS Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mencadangkan kepada syarikat penerbangan tempatan supaya melaksanakan dan menawarkan penerbangan tambahan pada waktu tengah malam dengan harga rendah, khususnya menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri tidak lama lagi.
Ka Siong dalam hantaran menerusi Facebook beliau berkata, menambah kapasiti dan jumlah penerbangan ialah langkah berkesan untuk mengatasi kesesakan dan berupaya mengurangkan kadar tambang.
"Saya penuh yakin langkah ini dapat dilaksanakan, lebih-lebih lagi dengan adanya Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) baharu.
"Kompleks ini akan meningkatkan pergerakan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 kepada 108 pergerakan sejam dengan menggunakan tiga landasan serentak berbanding 84 pergerakan sejam dengan dua landasan sebelum ini.
"Sudah pasti langkah ini dinanti-nantikan oleh rakyat khususnya pengguna pengangkutan udara yang ingin pulang ke kampung halaman meraikan hari gembira bersama keluarga dan insan tersayang,” katanya.
Ka Siong berkata, kadar tambang penerbangan pergi balik dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak ketika musim perayaan sering menjadi isu hangat yang dibincangkan dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah bertemu dan berbincang dengan syarikat penerbangan tempatan beberapa bulan lepas untuk menambah penerbangan pada waktu tengah malam dan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) disarankan melanjutkan pengoperasian, yang secara dasarnya telah dipersetujui.
"Kita berharap Malaysia Airlines (MAS), Air Asia, Batik Air dan sebuah syarikat penerbangan tempatan yang baharu MyAirline, yang mula beroperasi pada awal bulan ini, dapat merealisasikan cadangan ini dan menawarkan kadar tambang murah kepada para penumpang semasa musim perayaan.
"Saya yakin Kementerian Pengangkutan di bawah Kerajaan Perpaduan akan meneruskan usaha ini,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram