Maldives peluang terakhir 'ambil hati' Pan-gon sebelum Piala AFF


  • Podium
  • Selasa, 13 Dis 2022

Pan-gon (kiri) bergambar bersama Khuzaimi selepas sidang media praperlawanan Malaysia melawan Maldives pada Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada Rabu.

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, mengharapkan anak-anak buahnya mempamerkan prestasi cemerlang pada perlawanan persahabatan menentang Maldives pada Rabu, bagi memastikan hanya 23 pemain terbaik terpilih mewakili negara ke kejohanan Piala AFF kelak.

Jurulatih dari Korea Selatan berusia 53 tahun berpuas hati dengan susunan pemain sekarang ketika mengalahkan Kemboja 4-0 pada Jumaat.

Justeru, Pan-gon menuntut pemain memberikan persembahan menyakinkan barisan kejurulatihan dan orang ramai untuk membuktikan kelayakan mereka untuk dikekalkan dalam, pasukan.

Antara aspek yang akan dilihat Pan-gon dan barisan kejurulatihannya ialah menilai keupayaan pemain untuk mengadaptasi strategi taktikal dan aspek teknikal.

"Kita juga akan melihat kepada keagresifan, kebijaksanaan, dinamik dan kepandaian. Mereka telah pun beraksi dalam perlawanan liga dan dipanggil untuk kem latihan, namun hanya yang terbaik antara mereka akan berada di dalam senarai akhir untuk Piala AFF.

"Kita akan membuat keputusan berdasarkan kepada pendekatan taktikal, bukan (hanya pada) pendekatan individu. Secara taktikal dan strategik jika kita perlukan seseorang, maka yang lain akan dilepaskan,” katanya pada sidang media praperlawanan, di Petaling Jaya, Selangor, pada Selasa.

Malaysia yang berkedudukan ke-146 dunia akan bertemu Maldives (154) pada perlawanan pemanas badan terakhir mereka di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Stadium Cheras pada 9 malam esok, sebelum menyertai Piala AFF yang dijadualkan dari 20 Disember hingga 16 Januari.

Selepas 12 pemain utama yang pada awalnya disenaraikan tidak dapat meyertai kem latihan kali ini atas pelbagai sebab, Pan-gon mengakui beberapa pemain baharu telah pun menunjukkan keupayaan dan ketersediaan mereka untuk bermain pada peringkat wilayah.

"Saya sangat gembira, amat yakin kepada mereka (ketika bertemu Kemboja), apa yang saya mahukan untuk mereka bukan sahaja terus bermain, tetapi melawan sebagai satu pasukan. Banyak elemen, tugasan yang agak sukar, namun mereka berjaya lakukan, berdisplin, komited, patuh, semua elemen itu ada,” katanya.

Pan-gon berkata, permainan yang baik di Piala AFF akan membantu pemain meningkatkan nilai mereka, selain menarik ‘peninjau bakat’, membuka peluang bermain di luar negara.

Sementara itu, pemain pertahanan tengah, Ahmad Khuzaimi Piee mahukan rakan-rakannya untuk tidak memandang rendah keupayaan Maldives, dan sesiapa juga yang diturunkan perlu memberikan komitmen 100 peratus mereka.

"Dalam bola sepak ini apa sahaja boleh berlaku, kita tak boleh ambil mudah dengan lawan esok (Rabu) kerana bagi saya, ia merupakan perlawanan yang sukar. Saya harap sesiapa pun yang dipilih bermain esok, dapat beri persembahan dan komitmen baik,” katanya.

Harimau Malaya akan memulakan kempen Kumpulan B Piala AFF di Yangon dengan bertemua Myanmar pada 21 Disember, diikuti perlawanan menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil (24 Disember), Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan Singapura di Bukit Jalil (3 Januari).

Malaysia, juara edisi 2010 dan menamatkan pada tempat kedua pada 1996, 2014 dan 2018, terkeluar pada peringkat kumpulan pada edisi 2020 di Singapura. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram