'Sabarlah, tidak lama lagi', masa depan Saddil Ramdani bakal terungkai


  • Podium
  • Sabtu, 17 Dis 2022

Saddil merupakan antara watak utama kecemerlangan Sabah FC pada musim ini. — Instagram/Saddil

DARI jendela perpindahan kedua hingga berakhirnya musim ini, status nasib pemain lincah Sabah FC, Saddil Ramdani masih sahaja menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokongnya pada musim depan.

Pemain kebangsaan Indonesia itu mula menjadi bualan apabila timbul khabar angin mengatakan bahawa Saddil mendapat tawaran daripada salah sebuah kelab yang berpangkalan di Eropah.

Antara pasukan yang berminat untuk memburu khidmat pemain berusia 23 tahun itu ialah kelab dari Austria dan juga satu tawaran daripada Liga Belasuri iaitu Dinamo Minsk.

Bagaimanapun, selepas khabar mengaitkan kelab dari Eropah itu, peminat sempat menarik nafas lega apabila Saddil tampil menyatakan bahawa dia mungkin terpaksa melupakan peluang tersebut kerana faktor keluarga.

"Alhamdulillah, jemputan dari kelab Austria adalah benar.

“Jurulatih Kurniawan mahu saya mengembangkan karier ke Eropah dan saya sendiri juga mahu tetapi faktor utama buat saya ketika ini ialah keluarga saya,” memetik laporan daripada BolaSport.com.

WhatsApp Image 2022-12-16 at 22.44.07

Saddil mulai menyertai Sabah FC pada awal musim 2021. — Instagram/Saddil

Namun begitu, kegusaran kehilangan Saddil mulai timbul selepas hantaran Facebook dari halaman bola sepak di Indonesia yang mengatakan bahawa Saddil akan bahawa Saddil akan berstatus tanpa kelab.

Perkara itu membawa maksud bahawa bekas tonggak Sri Pahang itu tidak akan bersama Sabah FC untuk musim depan dan belum disahkan akan bermain untuk kelab sama ada tempatan atau kembali ke bermain di liga bola sepak negaranya.

Laporan portal, bola.okezone pula mengatakan Saddil mendapat kontrak selama dua musim (2022-2023, 2023-2024) daripada kelab gergasi Bosnia iaitu daripada FK Sarajevo.

Mengulas status Saddil bersama Sabah FC pada musim depan, Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir meminta bahawa penyokong skuad Sang Badak diharap bersabar untuk menunggu berita mengenai pemain sayap itu.

"Kalau tiada kemas kini lagi di laman rasmi maknanya kena tunggu lagilah. Sabarlah tidak lama lagi," katanya ringkas kepada Majoriti.

Justeru itu, pihak pengurusan akan menjawab tawaran lanjutan kontrak daripada Saddil itu apabila sudah tiba masanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram