'Tua-tua keladi, optimis King of Assist bikin Sabah FC bertambah mantul'


  • Podium
  • Jumaat, 16 Dis 2022

Beberapa pemain berkualiti akan menyertai Sabah FC musim depan bagi memperkuatkan skuad itu sebagai antara pencabar utama Liga Super 2023. — Facebook/SabahFC

PRESTASI cemerlang Paulo Josue pada musim 2022 melayakkan dirinya dicalonkan dalam kategori Pemain Import Terbaik Anugerah Bola sepak Kebangsaan 2022 (ABK22) pada Khamis.

Kejayaannya itu juga meletakkan dirinya mampu tersenarai bersama-sama dua tonggak Johor Darul Takzim (JDT), Bergson da Silva dan Fernando Forestieri.

Kelebihan ini membuatkan penyokong Sabah FC mengimpikan khidmat Paulo di bahagian jentera serangan mereka pada musim depan.

Walaupun sudah berumur 33 tahun, ketua pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC dilihat dapat memantapkan pasukan Sabah FC pada musim depan.

Josue (tengah) mula beraksi dalam Liga Malaysia pada tahun 2017 bersama KL City dan menggalas tugas sebagai kapten. — Instagram/Josue

Manakan tidak, pemain kelahiran Brazil itu merupakan penjaring terbanyak skuad Warga Kota dengan meledak lima gol sepanjang kempen Piala AFC dan sekali gus membantu skuad Warga Kota melayakkan diri ke pentas final.

Malah, jika dilihat pada prestasi Josue pada musim ini juga berada di tahap terbaik apabila dia berjaya menjaringkan 8 gol dan 10 bantuan gol secara keseluruhan dari 27 perlawanan Liga Malaysia yang diturunkan bersama KL City.

Kelebihan pemain berketinggian 184 sentimeter dalam pelbagai posisi juga memberi kelebihan pada skuad Sang Badak.

Seorang penyokong Sabah FC, Zaidie Ajis berharap agar pemain yang bakal mendapat naturalisasi itu dapat bersama pasukan Negeri Di Bawah Bayu musim depan di halaman Facebook Sabah FC Fan.

"King of assist join Sabah FC 2023," tulisnya.

Bagi seorang lagi penyokong, Mohamad Hanifah Awang Alijang berasakan kehadiran Josue pada musim depan dapat membantu memantapkan lagi skuad Sang Badak walaupun usianya agak tua bagi arena bola sepak.

"Kalau dia (Josue) bagus. Masih perform walaupun agak berusia tapi masih cergas. Antara tonggak kekuatan KL City," katanya.

Bagi Yusri Yusof Yusri, kehadiran Josue dapat mengukuhkan lagi bahagian serangan pasukan Sabah FC.

"Kalau betul dia sertai Sabah, confirm pasti berganding dengan Darren Lok bahagian serangan. Mantap!," katanya.

Menurut Johneysius Sinson pula, umur bukanlah penghalang bagi Josue memberikan aksi terbaik sekiranya menyertai skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu.

"Tua-tua keladi, biar tua dalam IC (kad pengenalan) tetapi dalam padang masih mantap," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram