MESKIPUN aksi bola sepak tanah air sudah melabuhkan tirainya kira-kira sebulan lalu, penyokong tempatan seakan-akan tidak sabar untuk menyaksikan pasukan kegemaran mereka kembali beraksi di atas padang.
Manakan tidak, jendela perpindahan Liga Malaysia yang dibuka awal Disember lalu menyaksikan laman media sosial tidak henti-henti dibanjiri khabar angin mengenai perpindahan pemain musim baharu nanti.
Tidak cukup dengan itu, kesempatan tersebut juga diambil barisan kejurulatihan setiap kelab untuk melakukan rombakan terhadap skuad bagi membolehkan mereka bersaing dengan lebih baik musim depan.
Seperti jendela perpindahan tahun-tahun sebelum ini, pemain import merupakan sasaran utama dengan kelebihan mereka dari segi fizikal menjadi satu kelebihan.
Di samping itu, pengalaman yang pernah mereka perolehi semasa beraksi bersama kelab-kelab luar juga boleh disumbangkan dalam menyuntik perubahan kepada rakan serta pihak kejurulatihan.
Corbin Ong merupakan antara contoh terbaik pemain naturalisasi kebangsaan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, situasi bola sepak tempatan menyaksikan pemain dengan status naturalisasi mahupun warisan sering menjadi pilihan pasukan Liga Malaysia.
Hal tersebut adalah untuk memudahkan proses pendaftaran selain memberi lebih banyak peluang dalam mendapatkan seorang import yang benar-benar berkualiti.
Misalnya, duo pertahanan Johor Darul Takzim (JDT), Matt Davies dan Corbin Ong merupakan antara contoh terbaik bahawa pemain naturalisasi mempunyai kebolehan yang tidak boleh dipersoalkan.
Jadi, tidak timbul sebarang persoalan apabila pendekatan berkenaan akan dibuat dengan lebih kerap dalam jendela perpindahan ketika ini apatah lagi dengan jadual padat Liga Super musim depan.
Tetapi, siapakah pemain warisan yang boleh dibawa masuk selepas meraih pengalaman bermain di luar negara, sekali gus merancakkan lagi arena bola sepak tanah air.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga nama-nama dengan status naturalisasi yang sesuai disambar kelab Liga Malaysia selepas berjaya mencipta nama bersama pasukan masing-masing musim lepas.
1. Samuel Bone
Pertahanan tengah kelahiran Kuching, Sarawak, Samuel Bone adalah salah satu bakat terbaik untuk dibawa masuk ketika tempoh perpindahan pemain berdasarkan struktur fizikalnya.
Ketika ini, pertahanan tengah itu sedang terikat dengan kelab Republik Ireland, Dundalk FC yang berjaya menamatkan saingan liga di tangga ketiga divisyen teratas negara tersebut.
Meskipun usianya baru sahaja mencecah 24 tahun, Bone mula meraih kepercayaan daripada barisan kejurulatihan untuk diturunkan dalam majoriti aksi liga sepanjang musim.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, pemain itu hanya tidak diturunkan dalam empat perlawanan, yang mana membuktikan kepentingannya kepada kelab itu.
Selain itu, sumbangannya juga cukup dihargai dengan pasukan itu merekodkan 20 perlawanan tanpa dibolosi dengan 16 daripadanya menampilkan Bone dalam kesebelasan utama.
Bone mula mengasah bakatnya selepas menyertai beberapa kelab di Eropah. — Agensi
Jadi, tidak hairanlah apabila dia merupakan antara calon terbaik untuk diperkenalkan ke dalam skuad Harimau Malaya yang semestinya berharap tembok pertahanan mereka lebih kukuh.
Namun, harapan tersebut bukanlah mudah untuk direalisasikan dengan bakat dan kemampuannya sukar untuk diperhatikan sekiranya dia memilih untuk kekal berkelana di Eropah.
Oleh itu, antara pilihan yang boleh diambilnya adalah dengan menyertai mana-mana pasukan Liga Malaysia dalam usaha mencuri perhatian ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon.
Jika diperhatikan kelab tempatan ketika ini, terdapat beberapa pasukan yang sesuai untuk mendapatkan khidmat pertahanan dengan ketinggian mencecah 1.87m itu.
Tetapi, Kuala Lumpur (KL) City FC merupakan destinasi terbaik untuk mendapatkan khidmatnya selepas mereka kehilangan Irfan Zakaria yang berhijrah ke Sabah FC.
Bagaimanapun, adakah Bone akan memilih untuk menyertai Liga Malaysia selepas dia mula membuktikan kebolehannya untuk bermain di samping pemain berkualiti di benua berkenaan.
2. Harry Edge
Kemampuan pemain berdarah kacukan New Zealand-Malaysia, Harry Edge untuk beraksi sebagai pertahanan serta pemain tengah merupakan satu kelebihan yang perlu diberi perhatian.
Selain itu, ciri-ciri fizikalnya yang tegap juga menjadi satu perbezaan dengan ketinggiannya mencecah 1.91m, sekali gus memudahkan usahanya menyekat serangan lawan.
Dari aspek kehadiran di peringkat kelab, Edge merupakan antara kelibat penting buat kelabnya, IK Torslanda yang mana merupakan pasukan kerdil di Sweden.
Tetapi, meskipun dia berjaya menempa nama di Eropah dan New Zealand, reputasinya dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan tidaklah begitu megah dengan kesukaran untuk menyaksikan aksinya secara langsung.
Selain itu, struktur kecil pasukan tersebut sekali gus menyekat peluangnya untuk meraih sebarang penampilan di peringkat antarabangsa walaupun layak untuk mewakili dua negara.
Ketinggian Edge merupakan satu kelebihan yang boleh digunakan pasukan Liga Malaysia. — Agensi
Di samping memegang status sebagai warganegara New Zealand, Edge juga boleh mewakili skuad Harimau Malaya apabila bapanya merupakan seorang rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, seperti yang dibincangkan mengenai Bone, pemain berusia 28 tahun itu perlu memilih untuk menyertai mana-mana pasukan Liga Malaysia sekiranya dia berminat untuk mengumpul pengalaman di peringkat antarabangsa.
Melihat kepada situasi ketika ini, terdapat dua kelab yang sesuai untuk menyambar khidmat Edge iaitu Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang mana kedua-dua pasukan bergelut di posisi tersebut.
Untuk skuad Tok Gajah, terdapat khabar angin mengatakan kelab itu dalam usaha mendapatkan seorang pemain dari Australia yang mampu bermain sebagai bek tengah.
Bagi KDA FC pula, revolusi yang cuba dilakukan ketua jurulatih baharu, Nafuzi Zain seakan-akan tidak akan berjaya tanpa kehadiran tonggak pertahanan untuk musim akan datang.
3. Dion Cools
Sebelum ini, kecoh di media sosial mengatakan JDT sedang dalam usaha mendapatkan pertahanan kental Harimau Malaya, Dion Cools ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia Jun lalu.
Namun, usaha tersebut seakan-akan menemui jalan buntu dengan pemain berusia 26 tahun itu memilih untuk berpindah ke kelab Republik Czech, FK Jablonec daripada FC Midtjylland.
Keputusan tersebut dilihat sepertinya memberi kelebihan untuknya dengan dia diberikan peluang untuk diturunkan sebanyak lapan kali dalam pertembungan liga.
Meskipun kehadiran Cools tidak dapat mengubah nasib pasukan itu, ia serba sedikit meningkatkan kemampuan pemain tersebut yang mana ia adalah satu kelebihan buat skuad Harimau Malaya.
Aksi Dion Cools bersama Harimau Malaya sering dinanti-nantikan. — Facebook/FAMalaysiaOfficial
Bagaimanapun, sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim seakan-akan memberi gambaran bahawa dia akan cuba untuk mendapatkan khidmat pemain berkenaan.
Hal itu adalah kerana skuad Harimau Selatan layak ke Liga Juara-Juara AFC yang merupakan satu ujian dan cabaran besar buat juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.
Kehadiran Cools pastinya akan menyuntik perubahan buat landskap bola sepak tanah air dengan dia berjaya mengumpul pengalaman selepas beberapa tahun sejak memulakan kariernya.
Selain itu, kejayaan JDT untuk mendapatkan pemain berketinggian 1.85m itu akan membuka peluang kepada Pan-gon untuk mempersiapkan pasukan untuk kempen Piala Asia 2023.
Persoalannya, dengan lambakan pemain import bersama JDT musim ini, mampukah mereka menanggung kos penggajian pemain, lebih-lebih lagi dengan khabar angin mengatakan beberapa nama besar akan dibawa masuk. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram