Elak berputih mata, 2 import Tok Gajah wajib kekal di Darul Makmur musim depan


  • Podium
  • Khamis, 03 Nov 2022

Skuad Tok Gajah gagal menampilkan persembahan terbaik ketika berdepan Terengganu FC dalam Piala Malaysia. — Facebook/Sri Pahang FC

PENYINGKIRAN memalukan Sri Pahang FC di tangan Terengganu FC pada kempen Piala Malaysia 2022 meningkatkan perasaan kecewa penyokong selepas satu kempen Liga Super yang kurang memuaskan.

Pertukaran ketua jurulatih ketika pertengahan musim yang menyaksikan kepulangan figura berpengaruh, Datuk Dollah Salleh juga dilihat gagal untuk menyuntik perubahan.

Prestasi terumbang-ambing di penghujung saingan liga menyaksikan skuad Tok Gajah menamatkan musim di tangga ketujuh dengan hanya 28 mata berjaya dikumpul.

Selain itu, penyokong juga meletakkan harapan tinggi dalam Piala Malaysia selepas ia dilihat sebagai satu medan kebangkitan buat pasukan untuk musim akan datang.

Namun, semangat itu dibalas dengan kehampaan selepas mereka dimalukan skuad Sang Penyu yang mudah meratah anak-anak buah Dollah Salleh dengan agregat 9-3 dalam kedua-dua perlawanan itu.

Jadi, dengan pasukan itu sudah menamatkan musim yang kurang memberangsangkan ini, penyokong mula meletakkan sasaran untuk musim depan selain berharap terdapat rombakan dapat dilakukan.

313911049_5733138953413418_5574012763159557186_n

Titi berjaya menjaringkan sembilan gol dalam 13 perlawanan Liga Super. Facebook/Sri Pahang FC

Di samping berhasrat untuk melihat wajah-wajah baharu, mereka turut meluahkan pendapat mereka di media sosial yang memaksa pihak pengurusan mengekalkan beberapa tonggak pasukan.

Meskipun barisan pemain Sri Pahang dirasakan kurang berkualiti musim ini, masih terdapat beberapa bintang bersinar yang tidak henti-henti mengerah keringat dalam setiap perlawanan.

Berdasarkan satu perkongsian penyokong Mohd Yazid, dia menyuarakan pendapat bahawa dua pemain import, Manuel Hidalgo dan Steven Rodriguez wajar dikekalkan.

"Bagi Hidalgo, dia sering menyumbang buat pasukan walaupun baru sahaja bersama Sri Pahang untuk setahun setengah, dia seperti sudah bermain bersama pasukan buat bertahun-tahun.

"Dia jarang mengecewakan meskipun kadang kala gagal untuk mengawal emosi. Jika kita lihat statistiknya, dia berjaya menyumbang tujuh gol dan enam bantuan," katanya.

Melihat kepada sumbangan itu, penyokong lain turut berpendapat bahawa pemain kelahiran Argentina itu perlu dikekalkan meskipun terdapat percubaan pasukan lain untuk mendapatkan khidmatnya.

"Minta pengurusan mengekalkan pemain bersusuk kecil ini dan mungkin boleh digandingkan dengan beberapa pemain sayap baharu, barulah Sri Pahang mampu bersinar," kata Reduan Sulaiman.

"Pihak pengurusan wajib mengekalkan Hidalgo dengan menyambung kontraknya, janganlah dilepaskan pemain penting ini daripada pasukan," kata Shahrul Hidayah.

313975525_5733138923413421_5510596682842408391_n

Hidalgo difahamkan mula dirisik beberapa pasukan Liga Malaysia. Facebook/Sri Pahang FC

Selain Hidalgo, Rodriguez juga merupakan satu nama yang diharapkan dapat dikekalkan dalam skuad Tok Gajah melihat kepada jumlah jaringan yang dijaringkan musim ini.

"Sudah lama rasanya Pahang tidak mempunyai mesin gol untuk menambah baik jentera serangan. Bagi sahaja umpanan baik kepada 'Titi', dia pasti akan dapat menjaringkannya.

"Walaupun hanya berketinggian 1.77m, dia mampu menghidu peluang menerusi tandukan seperti bekas penyerang, Matias Conti sebelum ini," katanya.

Musim ini, Rodriguez berjaya memikul tanggungjawab besar bersama pasukan selepas menjaringkan sembilan gol dalam 13 aksi Liga Super selain dua lagi dalam kempen Piala Malaysia.

Oleh itu, seorang lagi penyokong Sri Pahang, Karim Singko turut berharap pemain berusia 24 tahun itu dapat dikekalkan bersama pasukan untuk menerajui jentera serangan mereka.

"Kalaulah tiada Rodriguez ni dalam pasukan musim ini, pasti lebih merudum. Saya harap dia dapat dikekalkan semusim lagi untuk bantu pasukan ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram