KEJAYAAN Sabah FC untuk layak ke Piala AFC musim depan membolehkan pihak pengurusan dan kejurulatihan lebih bercita-cita ketika jendela perpindahan.
Selepas dibuka 1 Disember lalu, mereka tidak menunggu lama untuk mengumumkan kehadiran dua wajah baharu ke dalam skuad, iaitu Irfan Zakaria dan Darren Lok.
Darren Lok, yang sebelum ini berkhidmat sebagai penyerang Petaling Jaya (PJ) City FC sememangnya dikehendaki pasukan Liga Malaysia apabila kelab itu dibubarkan berikutan isu dalaman.
Musim lalu, pemain kebangsaan itu merekodkan 10 gol dan dua bantuan dalam 20 penampilan Liga Super selain beberapa penampilan bersama skuad Harimau Malaya dalam membantu mereka melayakkan diri ke Piala Asia 2023.
Oleh itu, kehadirannya ke skuad Sabah FC menghadirkan kegembiraan kepada penyokong apabila mereka dilihat kebuntuan dalam posisi itu sepanjang musim.
Bagi Irfan pula, aksinya bersama Kuala Lumpur (KL) City FC membantu meningkatkan reputasinya setelah menjulang Piala Malaysia 2021 di samping mara ke pentas akhir Piala AFC tahun ini.
Faktor ketinggiannya selain bijak membaca gerakan lawan kerap diberikan pujian, lebih-lebih lagi dengan usianya yang baru sahaja mencecah 27 tahun.
Sabah FC perlu dapatkan beberapa wajah baharu sekiranya mahu beraksi lebih baik musim depan. — Facebook/Sabah FC
Kemasukannya seakan-akan dapat membantu mengukuhkan lagi benteng pertahanan skuad Sang Badak yang ketika ini dilihat sudah cukup baik dengan kehadiran pemain berbakat, seperti Dominic Tan, Rawilson Batuil dan Gerald Gadit.
Bagaimanapun, bagi ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, dia pasti berasakan terdapat beberapa aspek pasukan yang perlu diperkukuhkan semasa jendela perpindahan ini.
Khabar angin ketika ini mengatakan pasukan itu sedang berusaha menyambar pertahanan kiri Selangor FC, R Dinesh serta seorang lagi tonggak PJ City FC, S Kumaahran.
Kedua-dua pemain itu dilihat sesuai dengan pendekatan Kim Swee berikutan faktor usia dan kesungguhan yang dipamerkan setiap kali diturunkan di atas padang.
Namun, baru-baru ini, timbul satu lagi ura-ura perpindahan yang mengatakan Sabah FC berminat untuk mendapatkan pemain Johor Darul Takzim (JDT), Daniel Ting.
Meskipun usianya sudah mencecah 30 tahun, pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu jarang diberikan peluang bersama skuad senior selepas dikatakan kurang memberi impak kepada pasukan.
Daniel (kiri) diturunkan ketika aksi persahabatan menentang kelab Indonesia, Persis Solo. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Sejak tempoh pinjamannya bersama KL City FC berakhir awal musim lalu, Daniel diturunkan ke dalam skuad JDT II meskipun terpaksa pulang ke England berikutan isu peribadi.
Tetapi, untuk musim depan, dia difahamkan sudah bersedia untuk pulang dan menghidupkan semula kariernya dalam landskap Liga Malaysia bersama mana-mana pasukan.
Melihat kepada situasi JDT ketika ini, lambakan pemain semestinya menyekat peluang Daniel dan dia difahamkan perlu dipinjamkan untuk meraih minit permainan yang berharga.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Sabah FC mula menyatakan minat untuk membawa masuk pemain itu dengan dia mempunyai kelebihan dalam beraksi dalam beberapa posisi.
Bagaimanapun, melihat kepada luahan di media sosial, rata-rata penyokong kurang tertarik dengan khabar angin itu, lebih-lebih lagi jika Daniel menyertai anak-anak buah Kim Swee dengan status pinjaman.
"Tak perlu dirasanya untuk diambil Daniel Ting ini, nanti apabila sudah cukup cemerlang bersama Sabah FC, terus diambil balik semula," kata Mohd Azuan.
"Nanti, apabila musim sudah bermula, apabila berdepan JDT, tiba-tiba sahaja tidak boleh diturunkan dengan alasan seperti dilanda kecederaan dan apa-apa sebab lain," kata Shahdan Salehuddean.
"Kalau setakat dibawa masuk secara pinjaman, lebih baik sekiranya elakkan. Nanti setiap kali berdepan JDT, tidak dibenarkan untuk bermain," kata Angkol Sagaih.
Musim ini, situasi tersebut dapat disaksikan apabila pemain tengah, Stuart Wilkin terpaksa melupakan hasrat untuk berdepan majikannya dalam aksi Liga Super dan separuh akhir Piala Malaysia.
Namun, selepas beraksi dengan cukup baik, Wilkin akhirnya memilih untuk kekal bersama skuad Sang Badak dengan menandatangai kontrak selama dua tahun.
Mengulas mengenai situasi Daniel Ting dan JDT, dia seakan-akan sukar untuk terus mendapat kepercayaan daripada pihak pengurusan dengan usianya semakin lanjut selain kemasukan pemain lebih menyinar dalam benteng pertahanan.
Tetapi, dengan Liga Super bakal menjadi lebih kompetetif musim depan, perkara itu mampu berubah dengan pengendali JDT, Hector Bidoglio pasti berhasrat untuk mengekalkan sebanyak mungkin pemain atas faktor penggiliran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram