WALAUPUN sudah hampir setahun legenda Kedah Darul Aman (KDA) FC, Baddrol Bakhtiar meninggalkan skuad Sang Kenari dan memutuskan untuk menyambung kariernya bersama Sabah FC, namun hakikatnya masih sukar mencari penggantinya di Darul Aman.
Baddrol yang dulunya menyarung jersi bernombor tujuh bukan hanya dirindui oleh penyokong skuad Hijau Kuning, malah pihak pengurusan KDA FC juga menyatakan sukar untuk menemui pengganti pemain prolifik berkenaan.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, jersi nombor 7 yang pernah disarung Baddrol masih tidak menemui pemain yang sesuai untuk menyarungnya.
"Berkenaan jersi nombor 7, untuk tahun 2023 masih tiada pemakai lagi...mungkin suatu hari nanti ada pengganti yang setara (Baddrol).
"Jersi itu mungkin akan dimiliki suatu hari nanti tapi untuk 2023, tiada pemakai lagi," katanya.
Pemain berusia 34 tahun itu mulai menabur bakti bersama skuad Hijau Kuning sejak 2006 dan pernah memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA sebanyak dua kali iaitu pada 2009 serta 2011 bersama skuad Malaysia B-23.
Disebabkan jasa Baddrol yang sangat besar buat pasukan Kedah, jersi nombor tujuh itu dianggap keramat dan hanya pemain setaraf dengan bekas kapten skuad Sang Kenari itu layak layak menyarungnya.
Baddrol turut menyarung jersi nombor 7 di Sabah FC. — Facebook
Namun, baru-baru ini, muncul satu luahan di media sosial yang berhasrat untuk melihat seorang pemain berkualiti menyertai pasukan itu dan dia setaraf Baddrol dalam landskap bola sepak tempatan.
Antara nama yang disebut ialah kapten Selangor FC, Brendan Gan di mana pemain itu sudah berjaya membuktikan kemampuannya setiap kali turun beraksi buat kelab Gergasi Merah serta skuad Harimau Malaya.
Selain kredibiliti atas padang, sikap tidak putus asa dan karakter positif tonggak tengah pasukan kebangsaan itu juga layak dijadikan contoh oleh bintang bola lain dan ramai menganggapnya sebagai pemain berjiwa besar.
Mana tidaknya, sepanjang bergelar pemain bola profesional, Brendan ditimpa dengan pelbagai ujian seperti melalui dua masalah kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dan disahkan menghidap kanser testis pada Julai 2021.
Sehingga kini, Selangor FC masih belum mengumumkan sama ada Brendan akan kekal bersama Gergasi Merah pada musim depan. — Facebook
Meskipun dengan ujian yang menimpanya, pemain berusia 34 tahun itu masih mampu bangkit dan buktinya pada musim ini, Brendan membantu Selangor FC dinobatkan sebagai naib johan Piala Malaysia 2022.
Malah, dalam 16 penampilan Liga Super musim ini, pemain berdarah kacukan Australia-Malaysia itu berjaya menyumbang lima gol sekali gus membantu meletakkan Selangor di tempat kelima liga.
Sikap atas padang dan luar padang Brendan itu menyebabkan seorang penyokong KDA FC, Syahrul Syah berhasrat untuk melihat kelibat Brendan bersama pasukan Hijau Kuning pada musim depan selain memiliki nombor keramat tersebut.
"Brendan Gan akan ke Kedah tahun depan? Ini satu berita yang menarik untuk peminat-peminat Kedah semua," tulis penyokong Kedah itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram