PRESTASI turun naik Sabah FC musim 2022 menjadi kegusaran buat penyokong sama ada The Rhinos mampu bersaing dalam saingan Liga Super 2023 yang lebih menjanjikan lebih kompetitif dari tahun-tahun sebelumnya.
Mana tidaknya, Liga Super 2023 bakal menyaksikan sebanyak 18 buah pasukan dengan setiap kelab akan mempunyai 34 perlawanan liga.
Selain format baharu tersebut, kemunculan beberapa jurulatih berpengalaman seperti Lim Teong Kim dan bekas ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe juga menjadikan Liga Super musim depan lebih menarik.
Dengan perubahan tersebut, penyokong setia The Rhinos berharap agar pihak pengurusan merencana pasukan terbaik musim depan dengan melakukan rombakan pemain.
Beberapa pemain Sabah FC dinasihatkan agar diberhentikan khidmatnya berikutan prestasi kurang cemerlang yang dipamerkan sepanjang saingan Liga Super 2022.
Kapten, Baddrol Bakhtiar, pemain berpengalaman, Amri Yahya, penyerang import, Jose Embalo dan juga pemain pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) II, Stuart Wilkin merupakan pemain-pemain yang dikira sudah tidak relavan buat Sabah.
Baddrol menjadi antara pemain yang disifatkan tidak relevan buat Sabah FC. — Facebook/Sabah FC
Faktor umur Baddrol dan Amri menjadi sebab nama mereka dipetik tidak memberikan kesan positif buat Sabah pada musim depan.
Manakala, Embalo yang hanya merekodkan satu jaringan sudah cukup membuktikan posisinya perlu segera diganti bagi memperkukuh sentuhan penyudah Sabah FC.
Posisi Stuart sebagai pemain tengah perlu diisi semasa jendela perpindahan musim depan berikutan pemain itu hanya dipinjam sepanjang 2022 sahaja.
Saddil dikatakan akan berhijrah ke kelab Eropah pada musim depan. — Facebook/Sabah FC
Seramai 13 pemain pula terus ditagih khidmat mereka untuk beraksi bersama Sabah FC pada musim depan bagi memperkukuhkan dan memperkemas skuad.
Antara pemain Sabah yang dicadang untuk dikekalkan pada musim depan adalah Khairul Fahmi, Rawilson Batuil, Dominic Tan, Park Tae-su, Saddil Ramdani, Gary Steven Robbat dan Thanabalan.
Berbaki enam lagi pemain yang dikira konsisten menampilkan persembahan cemerlang ialah Hanafie Tokyo, Gerald Gadit, Maxsius Musa, Farhan Roslan, Azhad Harraz dan Rizal Ghazali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram